KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak baru-baru ini telah menerima sumbangan Food Bank Siswa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Program Food Bank Siswa ini merupakan kolaborasi antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rakan Strategik, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan beberapa pihak penyumbang bagi memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lebih lancar.
Program ini adalah satu inisiatif kesinambungan daripada Program Food Bank Malaysia. Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk membantu golongan mahasiswa dari keluarga golongan B40 supaya mereka dapat memberi tumpuan yang lebih baik terhadap pembelajaran. Objektif program Food Bank Siswa adalah untuk menangani kos sara hidup yang dihadapi oleh pelajar yang kian meningkat dan untuk mengurangkan beban pelajar supaya mereka lebih fokus pada pembelajaran.
Stampin Confectionary Sdn.Bhd merupakan penyumbang bagi program Food Bank Siswa ini. Syarikat tersebut telah memberi sumbangan 399 bungkus bun pelbagai perisa iaitu perisa kaya sebanyak 140 bungkus dan sambal ikan bilis sebanyak 259 bungkus dan Sumbangan tersebut telah diagihkan kepada IPTA yang lain sekitar Kuching. UiTM Cawangan Sarawak telah menerima sumbangan sebanyak 100 bungkus bun dan telah diserahkan kepada pelajar yang bertempat di depan pejabat Kolej Gading Kampus Samarahan 1. Seorang pelajar akan mendapat 2 bungkus bun iaitu perisa kaya dan sambal ikan bilis.