Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak baru-baru ini telah menerima sumbangan Food Bank Siswa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Program Food Bank Siswa ini merupakan kolaborasi antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rakan Strategik, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan beberapa pihak penyumbang bagi memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lebih lancar.
Program ini adalah satu inisiatif kesinambungan daripada Program Food Bank Malaysia. Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk membantu golongan mahasiswa dari keluarga golongan B40 supaya mereka dapat memberi tumpuan yang lebih baik terhadap pembelajaran. Objektif program Food Bank Siswa adalah untuk menangani kos sara hidup yang dihadapi oleh pelajar yang kian meningkat dan untuk mengurangkan beban pelajar supaya mereka lebih fokus pada pembelajaran.
Soft Talk Bakery Sdn Bhd merupakan penyumbang bagi program Food Bank Siswa ini. Syarikat tersebut telah memberi sumbangan 100 bungkus bun inti coklat dan telah diagihkan kepada pelajar bertempat di Pusat Pelajar Kampus Samarahan yang disampaikan oleh Prof Madya ChM Dr Mohammad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor HEP, Puan Norhayati Ismail, Ketua Staf Residen Kolej (SRK), Saudara Mohamed Yusuf Hassan Bin Roslan, YDP MPP Sesi 2020/2021 UiTM Cawangan Sarawak dan barisan MPP yang lain.