KOTA SAMARAHAN – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Yayasan Bank Rakyat, yang diketuai oleh Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat. Antara lain tujuan kunjungan ini adalah untuk menyerahkan sumbangan IPTA UiTM berjumlah RM 80,000.00 daripada pihak Yayasan Bank Rakyat yang disampaikan oleh Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin kepada pihak UiTM Cawangan Sarawak. Sumbangan ini diserahkan sendiri oleh kepada Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali dalam satu majlis ringkas. Program penyerahan ini berlangsung pada 14 Jun 2022 (Selasa) di Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2.
Peruntukan ini adalah untuk membantu mahasiswa dan mahasiswi dari golongan B40 yang bakal melanjutkan awal pengajian di UiTM Cawangan Sarawak. Sumbangan ini juga diharapkan dapat memberikan kelegaan kepada pelajar yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Turut hadir sepanjang majlis ini berlangsung adalah Dato Haji Mohd Shahrizal Haji Sahri, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat dan Encik Abdul Azis Rosli, Ketua Wilayah Bank Rakyat Sarawak.
UiTM Cawangan Sarawak berharap jalinan kerjasama dan sumbangan yang diserahkan oleh Yayasan Bank Rakyat dapat diteruskan bagi membantu anak bangsa Sarawak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih baik.