Episod 5: Program Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar PPT UiTMCJ

Program Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar Pra Diploma Episod 5 dengan tajuk Kenali Minat dan Halatuju Kerjaya Selepas Graduasi telah berlangsung pada 9 Jun 2022. Program ini dikendalikan oleh penceramah jemputan merangkap Pegawai Psikologi Kanan iaitu Puan Rajwani binti Ismail.

Objektif program pada kali ini lebih memfokus dalam memberi kesedaran tentang minat dan halatuju kerjaya kepada para peserta. Menerusi program kali ini, pelajar diberi pendedahan mengenali potensi diri dan kecenderungan minat kerjaya, meningkatkan pengetahuan pelajar tentang perkembangan dan perubahan-perubahan terkini, keperluan dan tuntutan para majikan atau organisasi terhadap para graduan disamping memberi peluang kepada pelajar untuk mempersiapkan diri memasuki alam pekerjaan dan latihan praktikal pada masa akan datang.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah Ujian Minat Kerjaya menggunakan Ujian Self Directed Search (SDS) bagi membantu pelajar melihat kecenderungan kerjaya masing-masing berdasarkan Teori Pemilihan Kerjaya Holland. Dalam ujian ini, pelajar akan mempelajari sejauh mana personaliti dan cara berkelakuan dengan alam persekitaran mempengaruhi pemilihan dan perkembangan kerjaya.

Personaliti peribadi, minat yang mendalam dan kemahiran diri merupakan aspek penting yang memberi pengaruh dalam kehidupan seseorang individu terutama semasa membuat pemilihan kerjaya. Program ini merupakan salah satu medium yang baik bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar untuk memilih kerjaya yang sesuai dengan mereka. Malah ia membantu pelajar untuk merancang dan membuat persediaan awal dalam memilih kursus pengajian bersesuaian peringkat diploma selaras dengan kecenderungan minat kerjaya masing-masing.

Adalah diharapkan dengan pelaksanaan program ini dapat merealisasikan aspirasi UiTM melahirkan para pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan malah cemerlang dari segi kemahiran insaniah. Melalui program siri terakhir yang telah dianjurkan ini, diharapkan ianya dapat membantu kepada pelajar yang terlibat memperolehi pengalaman dan mampu bersaing di peringkat global.

Penulis: Wan Noradila Wan Mohd Zain1, Siti Zarikh Sofiah Abu Bakar2