UiTM Cawangan Sabah Menjuarai Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah 2023 Kategori Inovasi Sosial (Kreatif)

Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (iSAS) 2023 telah berlangsung pada 2 November 2023 di Dewan Bankuasi Utama, Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah. Majlis iSAS 2023 ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Bin Haji Noor. Rektor UiTM Cawangan Sabah berserta Ketua-ketua jabatan daripada Sektor Awam Sabah juga turut hadir. Penganjuran iSAS 2023 yang bertemakan Malaysia MADANI memperkasa inovasi merupakan bukti komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memupuk kecekapan dan kecemerlangan institusi awam di Sabah melalui krativiti dan inovasi.

Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah bekerjasama menganjurkan program iSAS 2023. Program ini telah diperkenalkan sejak tahun 2019 yang bertujuan menyemarakkan pembudayaan inovasi Sektor Awam Sabah dan seterusnya menjadi medium untuk mengiktiraf penghasilan inovasi dikalangan penjawat awam Sabah. Pada tahun ini sebanyak empat anugerah utama di pertandingkan iaitu Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif (Inovasi Sosial) kategori kreatif (Persekutuan/Negeri), Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif (Inovasi Sosial) kategori Inovatif (Persekutuan/Negeri), Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif (Penyampaian Perkhidmatan) kategori kreatif (Persekutuan/Negeri) dan Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif (Penyampaian Perkhidmatan) kategori Inovatif (Persekutuan/Negeri). Lebih 60 projek inovasi penyertaan daripada sektor awam telah dipertandingkan dalam iSAS 2023 yang telah berlangsung sejak April 2023. Sebanyak beberapa tapisan perlu dilalui peserta pertandingan seperti tapisan awal, sesi pitching dan pembentangan poster telah dilaksanakan.

Kumpulan SINERGI merupakan wakil tunggal UiTM Cawangan Sabah dalam pertandingan iSAS 2023. Kumpulan SINERGI yang dipimpin oleh Ts Siti Aminah Mohammad, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan merupakan kumpulan inovatif dan kreatif UiTM Cawangan Sabah yang mempunyai sembilan ahli (Dayang Saibillah Abdullah, Atifah Remat, Dg Nur Shafiqah Ag Bakar, Anah Huda, Amzah Jaafar, Muhammad Sufri Salimun, Mohamad Hanafi Sadli , Mohd Izzat Syafa’at Basri dan Norshafikah Basri) yang merupakan staf Kompleks Makmal Sains dan Agroteknologi yang terdiri daripada pelbagai jawatan seperti Penolong Pegawai Sains , Pembantu Makmal Kanan dan Pembantu Makmal. Dengan mempertaruhkan projek inovasi Looptrics iaitu alat yang digunakan dalam proses kultur bakteria yang berasaskan tenaga bersih dan dijangka dapat membantu dalam menjimatkan kos operasi, kumpulan SINERGI telah dinobatkan juara Anugerah Inovasi Sektor Awan Sabah 2023 Kategori Inovasi Sosial (Kreatif). Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada UiTM Cawangan Sabah untuk terus berinovasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan yang seiring dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

UiTM Cawangan Sabah dibawah kepimpinan Rektor, YgBrs. Prof Madya Dr Rozita@Uji Mohamed sentiasa menggalakkan setiap bahagian/unit/Fakulti menerapkan budaya kecemerlangan inovasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian dan penggunaan sumber selaras dengan aspirasi UiTM, ke arah Universiti terkemuka dunia 2025.