UITM Cawangan Pahang Memperkasa Pendidikan Berkualiti Masyarakat Setempat (SDG 4)

Apabila kita memperihalkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ianya tidak dapat dipisahkan daripada persoalan berkenaan nilai serta impak yang terhasil untuk masyarakat setempat. Matlamat inilah yang cuba dicapai oleh UiTM Cawangan Pahang melalui program-program kemasyarakatan yang dilaksanakan secara berterusan dan tersusun rapi, bersesuaian dengan situasi pandemik COVID 19.

Melalui usahasama Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang dengan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) setempat Pertubuhan Amal Penduduk Jengka (PADUKA), Program Wakaf Buku: “A Gift of Reading” telah berjaya dilaksanakan, melibatkan Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat, Jengka.  Berpaksikan SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, program ini berusaha memupuk minat membaca bahan bacaan berbahasa Melayu dan Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah rendah melalui seleksi buku yang telah disumbangkan.

Seperti yang telah ditekankan oleh pengerusi program Dr Roslina Abdul Aziz, aktiviti kemasyarakatan Wakaf Buku ini tidak akan terhenti dengan penyampaian sumbangan buku semata. Ianya dikuatkan lagi dengan sokongan padu Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan yang sentiasa menekankan perihal kepentingan sesebuah program jalinan masyarakat anjuran UiTM yang lestari serta kekal berimpak kepada masyarakat sekitar. Rentetan itu, satu memorandum Usahasama Pintar telah berjaya ditandatangani antara UiTM Cawangan Pahang dan Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat. Ianya menyaksikan perancangan pelbagai aktiviti membaca dalam kalangan pelajar sekolah rendah yang dijangka bermula pada tahun 2021.

Penumpuan Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang kepada program berasaskan SDG 4 Pendidikan Berkualiti ini diharapkan dapat menjadi pencetus jalinan usahasama yang berpanjangan dantara UiTM dan pelbagai pihak setempat. Peranan UiTM sebagai laman ilmu yang mesra masyarakat perlu terus dikembangkan agar usaha membangunkan komuniti dapat dijayakan.