Pada 14 September 2023 yang lalu, seramai 16 orang staf UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah telah terlibat dalam menjayakan pameran sains dan matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Bahau, bersempena dengan Bulan STEM yang telah dianjurkan oleh SMK Bahau dengan kerjasama Bidang Sains dan Matematik, Bidang Teknik dan Vokasional serta Bidang Bahasa.
Program Bulan STEM ini telah diadakan selama dua minggu bermula pada 4 September 2023 sehingga 15 September 2023, dengan bertemakan “STEM Pemangkin Minda Bestari”. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menarik minat dan membuka ruang kepada para pelajar SMK Bahau untuk menghayati serta meminati subjek sains dan matematik. Justeru, pada majlis kemuncak Bulan STEM ini, pihak SMK Bahau telah mengambil inisiatif untuk menjemput beberapa buah institusi pendidikan seperti UiTM, Kolej Vokasional Juasseh, Kolej Komuniti Kuala Pilah dan Kolej FELDA Jempol untuk membuka booth pameran untuk dilawati oleh para pelajar mereka seramai 892 orang.
UiTM Kuala Pilah telah mengambil bahagian dengan membuka sebanyak lima buah booth pameran, melibatkan pelbagai demonstrasi aktiviti berteraskan sains dan matematik daripada lima buah jabatan iaitu Pusat Pengajian Biologi, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Pusat Pengajian Teknologi Industri yang terdiri daripada Jabatan Teknologi Makanan dan Jabatan Teknologi Tekstil, serta Jabatan Fizik dan Sains Bahan.
Program telah bermula seawal jam 9.00 pagi sehingga 1.30 tengah hari, dan telah mendapat sambutan hangat daripada para pelajar SMK Bahau. Mereka telah mencuba pelbagai jenis aktiviti yang disediakan oleh pempamer daripada UiTM. Sebagai contoh di booth pameran Jabatan Fizik dan Sains Bahan, para pelajar berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman memasang litar elektrik, mencari perkataan sains yang tersembunyi, memahami konsep inersia dan elektrostatik serta mengambil fotografi kenangan di photobooth yang telah disediakan.
Sementara itu, Pusat Pengajian Biologi pula telah berusaha untuk menarik minat pelajar sekolah dengan mempamerkan pelbagai jenis spesimen yang telah diawetkan, seperti spesimen reptilia (ular), crustacea (udang, ketam), annelida (cacing, lintah) dan amphibia (katak). Selain itu, pelajar juga telah diberi peluang untuk menggunakan mikroskop cahaya dengan melihat sendiri slaid yang telah tersedia, termasuk slaid sel tumbuhan, haiwan serta mikroorganisma seperti bakteria. Antara aktiviti yang paling menarik minat pelajar sekolah adalah pengalaman menggunakan Realiti Maya (VR) dan hologram yang menunjukkan imej dalam bentuk tiga dimensi (3D).
Manakala Jabatan Teknologi Makanan telah menyediakan dua jenis eksperimen sains yang mudah dan menyeronokkan. Salah satu eksperimen yang menimbulkan rasa takjub pelajar adalah Magic Milk atau susu ajaib. Eksperimen ini mengajarkan tentang tindak balas kimia antara susu dan sabun cuci pinggan. Manakala, eksperimen kedua adalah untuk mengenal pasti hubungan warna larutan bunga telang dengan kekuatan asid dan alkali. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan Piramid Makanan Malaysia 2020 dan corak pemakanan diet suku-suku separuh, selaras dengan silibus Buku Teks Sains Tingkatan Lima dengan menggunakan unsur Jigsaw Puzzle dan Matching Game. Unsur-unsur permainan yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dapat menarik minat pelajar, ia juga dapat membantu pelajar berfikir dan menyusun strategi dalam penyelesaian masalah dalam kehidupan harian.
Di booth pameran Jabatan Teknologi Tekstil pula, pempamer telah menyediakan slaid dan sudut pengetahuan berkenaan proses pembuatan bahan tekstil yang bermula daripada pelbagai jenis serat semulajadi dan serat polimer. Serat – serat ini diproses melalui proses pintalan untuk dijadikan selembar benang dan kemudiannya lembaran benang tersebut ditenun atau dikait menjadikan helaian fabrik atau kain. Di sini, para pelajar berpeluang untuk melihat sendiri bahan pameran seperti serat, benang dan jenis – jenis struktur fabrik di bawah kanta sebagai maklumat tambahan berkenaan proses penghasilan bahan tekstil untuk kegunaan seharian. Antara jenis-jenis struktur fabrik yang dipamerkan adalah seperti fabrik tenun, fabrik kait dan fabrik tidak tenun atau nonwoven. Ketiga – tiga jenis struktur fabrik ini memberikan sifat-sifat istimewa masing-masing khususnya untuk aplikasi-aplikasi tertentu. Struktur tenun merupakan struktur yang bersifat teguh atau kuat dan ia sesuai untuk aplikasi teknikal yang memerlukan kekuatan yang tinggi seperti pakaian seragam dan pakaian kalis peluru. Struktur kait pula mempunyai sifat keanjalan yang tinggi yang memudahkan ia kembali kepada bentuk asal setelah regangan yang tinggi dikenakan ke atasnya dan ia sesuai untuk kegunaan pakaian sukan dan di dalam industri automotif. Struktur nonwoven dihasilkan melalui konsep taburan serat secara rawak di atas permukaannya dan ia merupakan proses yang paling mudah, menjimatkan kos untuk penghasilannya, mempunyai sifat daya serapan larutan yang tinggi dan ia digunakan dengan lebih meluas untuk aplikasi tekstil bahan pakai buang seperti lampin moden dan tisu basah (wet tissue). Di samping itu juga, para pelajar turut didedahkan dengan pengaruh bahan tekstil terkini yang lebih luas di dalam pelbagai bidang aplikasi untuk menyokong kehidupan seharian seperti Textile for Construction, AgroTextile, Automotive Textile, Textile in Safety and Security, Medical Textile dan Smart Textile.
Bagi booth pameran Pengajian Sains Pengkomputeran dan Matematik, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan untuk memupuk minat pelajar terhadap subjek matematik. Antaranya ialah aplikasi rumus theorem phytagoras serta roll out 3D shape bagi pengiraan luas permukaan seperti piramid, segitiga prisma, kubus dan kuboid. Ini membolehkan pelajar memahami bagaimana rumus tersebut terhasil tanpa menghafal secara tidak langsung menunjukkan situasi sebenar penggunaan matematik dalam kehidupan seharian. Pelbagai permainan seperti puzzle, IQ test dan penyelesaian masalah matematik menggunakan kaedah algebra juga turut disertakan. Kaedah bermain sambil belajar ini sangat berkesan bagi pelajar yang mempunyai masalah kurang minat dalam subjek matematik. Hasilnya pelajar berasa seronok dan dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam kelas.
Semoga dengan penglibatan UiTM Cawangan Negeri Sembilan ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran, minat dan kefahaman dalam bidang STEM kepada para pelajar di SMK Bahau, seterusnya menggalakkan mereka untuk mendalami bidang ini pada masa akan datang.