Lawatan Kerja Ke Pusat Ternakan Ikan Patin dan Tilapia Kampung Tanjung Bidara, Kampung Gajah, Perak Bersama Delegasi Daripada Unida

Kampung Gajah, 13 September 2023 – Penyelidik dari Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah bersama Delegasi daripada Fakulti Sains Dan Teknologi Universitas Darussalam Gontor (UNIDA) Indonesia telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemeliharaan Ikan Patin dan Tilapia, Kg Tanjung Bidara, Kampung Gajah, Perak pada 13 September 2023. Lawatan ini merupakan kesinambungan daripada pihak penyelidik UiTM yang menjalankan aktiviti pemantauan kualiti air sungai serta penyelidikan ramuan dedak ikan  yang diketuai oleh Dr. Mimi Sophia dengan masyarakat nelayan darat yang diketuai oleh En Zakaria Mohd Ji menerusi projek myKomuniti Perikanan Pulau Tiga Kanan anjuran Jabatan Perikanan Perak Tengah.

Delegasi daripada UNIDA yang terdiri daripada lima orang peserta iaitu Dr Parwi, Ketua Peneliti  Agroteknologi bersama isteri: Dr Umi Isnatin , Dr Riza Ashari, anggota peneliti Pendidikan Agama Islam bersama isteri, Puan Laola Badu Wawa dan seorang mahasiswa dari Fakulti Agroteknologi iaitu saudara M. Herlangga. Delegasi ini berada di UiTM Kampus Tapah selama 3 hari sejak hari Isnin 11 September 2023 hingga 13 September 2023. Kehadiran peserta dari UNIDA ini bagi mengisi program lawatan akademik ke Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak , Kampus Tapah. Manakala peserta daripada UiTM Kampus Tapah terdiri daripada lima orang penyelidik dari Fakulti Sains Gunaan bidang Kimia, Fizik dan Biologi. Tujuan lawatan ini bagi menjalin kerjasama di antara UiTM, UNIDA dan pengusaha ternakan ikan Tanjung Bidara. Di samping itu, projek penyelidikan yang bakal dijalankan dapat dijangka dapat mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1: Sifar Kemiskinan,  2: Kelaparan Sifar (SDG 2) dan 14: Hidupan Bawah Air.

 

Lawatan kerja ke sangkar ternakan ikan ini bermula dengan peserta berkumpul dan menaiki bas perkarangan KNZ Enterprise Labu dan Pasu, Kampung Gajah. Dari situ, peserta menaiki kenderaan ringan melalui jalan kecil menuju ke Pusat Ternakan Ikan di Kampung Tanjung Bidara. Perjalan ini hanya memakan masa selama lebih kurang 10 minit. Jalan kecil ini hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan kecil. Di sana, peserta berkumpul di rumah Inap milik Puan Ramlah dan mendengar taklimat daripada Encik Zakaria yang merupakan pengusaha ternakan ikan patin dan tilapia Tanjung Bidara. Delegasi lawatan berpeluang melawat dan melihat sendiri ikan ternakan di dalam sangkar. Seterusnya, ahli delegasi dibawa menaiki bot bagi melawat beberapa lagi kawasan ternakan ikan sangkar seperti ternakan ikan di Pulau Tiga Kanan.

Setelah itu, acara diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati daripada delegasi UNIDA kepada Encik Zakaria, sebelum peserta di bawa untuk menjamu selera di kedai makan milik penduduk setempat. Peserta dijamu dengan menu berasaskan ikan patin dan ikan tilapia. 

Lawatan berakhir apabila peserta kembali ke UiTM Kampus Tapah dan diakhiri dengan penyampaian cendermata kepada delegasi daripada UNIDA.

Galeri Gambar: