UiTM Anjur Program Peringkat Antarabangsa – International Cross-Cultural and Humanitarian Programme (ICCHP23)

SHAH ALAM – Seramai 25 orang pelajar Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bersama 2 orang pensyarah pengiring, Dr. Suzana binti Ahmad (Ketua Kesejahteraan dan Kebajikan Pelajar) dan Dr. Sumarni binti Abu Bakar telah menyertai program anjuran Sekretariat Mahasiswa KPPIM iaitu International Cross-Cultural and Humanitarian Programme 2023 (ICCHP23) yang telah berlangsung selama 4 hari 3 malam, bermula 13 November 2023 sehingga 16 November 2023, bertempat di Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia. 

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar terhadap pelbagai isu sosial dan kemanusiaan di peringkat global dan pengenalan kepada perbezaan budaya dan nilai dari negara lain. Program ini juga secara tidak langsung membuka ruang kepada pelajar untuk meningkatkan kemampuan berkomunikasi serta mengembangkan lagi hubungan antarabangsa. Seramai 40 orang pelajar Sekolah Menengah Atas (SMA) Negeri 15 Medan telah terlibat sebagai peserta, dan mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan berdasarkan bidang kursus masing-masing. 3 buah modul berbeza telah disediakan oleh pihak KPPIM, iaitu Modul Asas Kemahiran Excel, Modul Asas Kemahiran Multimedia, dan Modul Asas Pencarian Maklumat.

 

Selain itu, terdapat beberapa aktiviti lain yang turut dijalankan sepanjang keberadaan pelajar KPPIM di USU,  seperti ‘USU Campus Tour’, ‘Knowledge Sharing’, ‘Medan City Tour’ dan malam kebudayaan. Penglibatan pelajar KPPIM di ICCHP23 berjaya memberikan pengalaman hidup yang tidak ternilai dan mengubah pandangan dunia kepada perspektif yang lebih mendalam tentang hidup dan nilai. Ulas pengarah projek, saudara Ali Dzulfaqor Mohd Hashim, “Program ini jelas melahirkan pelajar yang berani mencuba perkara baru, dan membentuk mereka menjadi individu yang lebih terbuka dan berempati. Di samping itu, program ini bertujuan untuk menjadikan pelajar KPPIM sebagai pelajar yang dapat menyumbang kepada masyarakat di peringkat global”.

Penolong Naib Canselor, Prof. Ts. Dr Haryani Haron, ketika berucap di majlis Flag Off pelajar ke USU, berpesan agar para pelajar tidak mensia-siakan peluang yang sangat berharga ini untuk memperluas pengalaman dan pengetahuan dalam bidang kemanusiaan dan kepelbagaian budaya. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kesemua pelajar dan pensyarah yang terpilih untuk menyertai program ini kerana ia satu pencapaian yang membanggakan. Beliau juga menegaskan bahawa setiap pelajar perlu berikan yang terbaik dalam setiap aktiviti dan tunjukkan kepada dunia bahawa pelajar-pelajar KPPIM mampu bersaing di peringkat antarabangsa.