UiTM Pahang, 8 Mac 2023 – Politeknik Ubaya, Surabaya, Indonesia telah menganjurkan satu webinar yang bertajuk ‘Ubaya Global Webinar Series 2023 : Being Competitive In The Global Market’ bersempena untuk menyambut ulang tahun ke-55 Politeknik Ubaya. Penganjur webinar menjemput penceramah dari luar untuk sama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun mereka.
Webinar ini telah diadakan pada pukul 3 petang waktu Indonesia bersamaan pukul 4 petang waktu Malaysia melalui aplikasi Zoom Meeting yang telah disertai oleh pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar Politeknik Ubaya dan juga orang awam.
Penceramah Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang (UiTMCPh) yang dijemput adalah Puan Norlinda bt Zainal Abdul yang telah membentangkan kertas bertajuk “International Taxation in The Digital Era”. Beliau menerangkan definisi “International Taxation”, ciri-ciri, impak, cabaran, dan cara mengatasai cabaran pengutipan cukai serta perlaksanaan sistem cukai di dalam era digital dan teknologi tinggi pada zaman sekarang.
Selain daripada itu, webinar tersebut juga ada menjemput tiga orang lagi penceramah yang menyampaikan tajuk, “Digital Marketing for SME” yang disampaikan oleh Puan Zainatunshima dari Kolej Kemahiran Johor, “ The Importance if Information System in the Digital Era”, oleh En. Hod Bin Amin dari Kolej Yayasan Pelajaran Johor, and “English Proficiency in Winning the Global Market” yang disampaikan oleh Michelle Avelena dari British Council English Score.
Program ini telah membantu Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dalam menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu SDG4: Pendidikan Berkualiti. Sebagai makluman, SDG juga dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari dan pada masa yang sama, program ini juga membantu UiTMCPh mencapai PI076 – Number of Knowledge Transfer Programmes (KTP).
SDG telah menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.
Penganjuran webinar ini telah mengeratkan lagi hubungan Politeknik Ubaya dengan IPTA dan IPTS dari Malaysia secara amnya, dan UiTM Cawangan Pahang secara khususnya. Semoga kolaborasi antara Politeknik Ubaya akan diteruskan dimasa akan datang.