TAWAU, 10 MAC 2023 – Anis Afifah Binti Mislan, pelajar Pra Diploma Sains Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau di bawah Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM tersenyum lebar apabila berjaya memperoleh keputusan terbaik dengan Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 4.00 dalam Penilaian Akademik Semester Oktober 2022 – Februari 2023.
Anis Afifah telah memperoleh keputusan gred A dalam semua kursus iaitu Bahasa Inggeris, Biologi, Fizik, Kimia dan Matematik, yang diumumkan secara rasmi melalui UiTM Student Portal pada Jumaat, 10 Mac 2023.
Menurut pelajar yang lebih mesra dipanggil Anis itu, dia sangat bersyukur atas pencapaian yang diterimanya. UiTM telah memberikan peluang kedua kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti Anis untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya datang daripada keluarga B40, jadi saya perlu berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat meraih keputusan cemerlang dan boleh membanggakan ibu bapa,” katanya yang merupakan anak kelahiran Ranau, Sabah.
Anis yang bercita-cita untuk menjadi matron, turut berkongsi tip belajar dengan berkesan.
“Belajar bersama rakan secara berkumpulan, sering membandingkan jawapan latihan yang diberi dan seterusnya bertemu dengan pensyarah bagi meleraikan segala kemusykilan yang timbul,” jelas anak bongsu daripada empat beradik tersebut.
Tuntasnya, kejayaan yang dicapai Anis ini akan dapat menjadi sumber inspirasi kepada semua pelajar untuk berusaha memperoleh keputusan yang cemerlang.
Untuk rekod, selain Pra Diploma Sains, PPT UiTM juga menawarkan empat program lain termasuk Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) Pra Diploma Agroteknologi, Pra Diploma Perdagangan dan Pra Diploma Pengajian Islam. Program PPT UiTM ini disokong oleh Yayasan Sime Darby.
Dalam usaha membantu para pelajar B40 untuk melanjutkan pengajian tinggi, keprihatinan dan sumbangan kepada Tabung Amanah Dana Program PPT UiTM melalui potongan gaji bulanan bagi staf UiTM atau melalui UiTM Pay bagi orang awam adalah amat dihargai.