‘Tree4future’ Antara UiTM Dan Azerbaijan Untuk Meningkatkan Inisiatif Kampus Hijau

SHAH ALAM,13 JULAI 2022—Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama-sama dengan Kedutaan Republik Azerbaijan telah melaksanakan satu inisiatif bersejarah yang dinamakan ‘TREE4FUTURE’ -iaitu penanaman pokok di kampus induk UiTM Shah Alam. Majlis tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Republik Azerbaijan, Encik Elnur Mamadov bersama Tuan Yang Terutama, Irfan Davudov, Duta Besar Kedutaan Republik Azerbaijan di Malaysia berserta Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor.

Pihak Kedutaan Azerbaijan telah bersetuju untuk menjayakan inisiatif ‘TREE4FUTURE’ dengan objektif utama untuk meningkatkan kawasan hijau di dalam kampus, seiring dengan misi UiTM untuk mencapai status Kampus Lestari (Kampus Hijau) menjelang tahun 2025. Dalam masa yang sama, program ini bertujuan untuk mempromosikan Bandar Susha sebagai Pusat Kebudayaan Azerbaijan yang telah dibina pada abad ke-18 dan juga meraikan tahun ke-270  Kota Susha (1752-2022).

Sebanyak 15 pokok telah ditanam dengan beberapa spesies terpilih seperti pokok Merbau, pokok Delima dan pokok Penaga Lilin. Pokok Merbau, atau nama saintifiknya Intsia palembanica dipilih kerana melambangkan identiti Malaysia. Pokok ini mempunyai ketahanan yang tinggi dan banyak terdapat di kawasan hutan negara. Manakala, Punica granatum yang merupakan pokok Delima dipilih seiring dengan simbol masyarakat dan tradisi rakyat Azerbaijan. Kesemua spesies yang dipilih sememangnya istimewa untuk melambangkan perpaduan dan persahabatan sambil mengukuhkan jalinan hubungan antarabangsa di antara Azerbaijan dan Malaysia. ‘TREE4FUTURE’ turut dianjurkan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa, UiTM Global dan UiTM Green Centre.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata inisiatif ‘TREE4FUTURE’ yang dimulakan ini bukan sahaja untuk meningkatkan penanaman tumbuh-tumbuhan di sekitar kampus UiTM, tetapi merupakan salah satu penyelesaian proaktif kepada pemulihan dan perubahan iklim. Beliau percaya dengan kerjasama yang menggabungkan kepakaran, kemahiran dan pengetahuan ini pastinya akan meningkatkan usaha UiTM  untuk mencapai status Kampus Hijau Lestari menjelang 2025, atau lebih awal daripada itu.