Transformasi Melalui Pendidikan: Program Khidmat Masyarakat Engaging Technovator for the Future Among Machang School Students and Teachers Bersama UITM Dengkil dan UITM Machang tajaan Yayasan TM

Pada 22 – 23 September 2023, Unit Sains Komputer Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil telah menganjurkan sebuah Program Khidmat Masyarakat Siri kedua yang bertajuk “Engaging Technovator for the Future Among Machang School Students and Teachers.” Program ini dibiayai oleh Yayasan TM bawah Geran Impak Sosial dan diadakan di UiTM Machang.

Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang pengaturcaraan, penyelesaian masalah dan pembangunan prototaip. Kesinambungan daripada program ini, ianya dapat menanam minat para pelajar sekolah menengah rendah untuk belajar dan meneruskan pengajian di dalam bidang STEM.

Sebanyak lima (5) buah sekolah telah dipilih menyertai program ini, SMK Hamzah, SMK Hamzah 2, SMK Machang, SMK Abdul Samad, dan SMK Bandar Machang. Peserta program ini dibekalkan dengan modul Arduino dan set Arduino sepanjang program berlangsung. Di akhir program ini, semua pelajar telah berjaya membentangkan hasil projek Arduino mereka dengan cemerlang. Sekolah yang dinobatkan sebagai pemenang ialah SMK Hamzah (tempat pertama), SMK Hamzah 2 (tempat kedua) dan SMK Bandar Machang (tempat ketiga). Setiap sekolah menerima hadiah berupa set Arduino bernilai RM 900 sehingga RM 1500, medal dan hamper. Untuk kali ini, kumpulan yang berjaya menjadi projek terbaik menerima piala.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan minat pelajar sekolah di Machang terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), yang kini menjadi tunjang kepada kemajuan sesebuah negara. Program ini juga melibatkan pelajar dan para guru sebagai rakan-rakan pengajar, memastikan mereka turut terlibat dalam memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM.

Berikut adalah  aspek utama program ini:

Sesi Pembelajaran Interaktif: Pelajar akan diberi peluang untuk mengikuti sesi pembelajaran interaktif yang menarik, termasuk demonstrasi teknologi terkini dalam bidang STEM melalui penggunaan arduino.

Kerjasama Dengan Komuniti: Guru dan pelajar bekerjasama dalam projek-projek sains dan teknologi yang berkaitan dengan isu-isu tempatan, memberi mereka pengalaman praktikal dalam mengaplikasikan ilmu penyelesaian masalah, pengaturcaraan dan pembangunan prototaip.

Program “Engaging Technovator for the Future Among Machang School Students and Teachers” adalah usaha yang sangat relevan dalam memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM, yang kini menjadi isu penting dalam pendidikan negara. Program ini juga mencerminkan komitmen UiTM Dengkil dalam menyumbang kepada perkembangan pendidikan dan kemasyarakatan.

Program Khidmat Masyarakat ini akan berakhir untuk Siri Ketiga yang bakal diadakan di UITM Kampus Raub pada sekitar pertengahan bulan Oktober 2023.