SHAH ALAM, 14 JUN 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada hari ini menerima perkhabaran sedih dengan pemergian Tun Arshad Ayub, Pro-Canselor pada jam 2:06 pagi tadi. Allahyarham disahkan meninggal dunia pada usia 93 tahun di KPJ Damansara Specialist Hospital. Allahyarham merupakan Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM) yang pertama pada Oktober 1967 hingga Mac 1975 dan adalah nama yang cukup dikenali dalam sistem pendidikan dan ekonomi negara terutamanya kepada graduan UiTM.
Allahyarham Tun Dr Arshad Ayub lahir pada tahun 1928 di Muar, Johor. Beliau adalah Pengasas dan Pengetua Kolej Perniagaan dan Pengajian Profesional MARA yang telah merevolusi hingga dinaik taraf menjadi sebuah universiti, UiTM. Dilantik sebagai ProCanselor UiTM sejak 31 Mac 2000, beliau juga pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha bagi tiga kementerian dan pernah juga dilantik sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara. ITM ketika pentadbiran beliau juga turut menempa sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama yang mempelopori program berkembar dengan Ohio University, Amerika Syarikat. Antara sumbangan besar Allahyarham adalah memperkenalkan sistem pendidikan perakaunan (ACCA) dan undang-undang (LLB) di Malaysia. Selain itu, beliau turut memperkenalkan kursus-kursus profesional seperti Pengurusan Perniagaan, Sebaran Am dan Pengurusan Hartanah di ITM yang kini bergelar UiTM. Beliau juga memulakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran dan pengajaran di UiTM, yang kekal hingga hari ini. Allahyarham Tun Arshad Ayub akan sentiasa dikenang sebagai antara individu yang berjaya mencapai dan merealisasikan sasaran pendidikan bagi Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan itu berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya pada tahun 2020.
Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor dan seluruh warga UiTM turut menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian Tun Arshad Ayub, iaitu seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada pendidikan negara.
“Salam takziah kepada isteri Allahyarham Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan keluarga. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh”, ujar Naib Canselor.