Lawatan Kerja Dan Perbincangan Antara UiTM Dan Melaka Butterfly And Reptile Sanctuary (MBRS)

7 Jun 2022 – Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang dan Fakulti Sains Gunaan serta Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan satu lawatan kerja ke Melaka Butterfly and Reptile Sanctuary (MBRS), Ayer Keroh, Melaka. Lawatan ini adalah rentetan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UiTM dan MBRS pada 23 September 2021 lalu.

Sesi perbincangan antara kedua-dua belah pihak turut diadakan. Lawatan dan perbincangan ini telah disertai oleh Koordinator ICAN, Dr. Nurrohana binti Ahmad, Penyelaras Inovasi dan Pengkomersilan, Dr. Noor Izyan Mohamad Adnan Ketua Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pahang, Dr. Shaari bin Daud, Pengarah Program MoU di antara UiTM dan MBRS, Puan Roziana binti Bujang, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Perladangan & Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang, Ts. Fazidah binti Rosli, dan Koordinator Program Ijazah Sarjanamuda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti (AS255), UiTM Cawangan Pahang, Puan Wan Siti Atikah binti Wan Omar. Manakala wakil dari pihak MBRS pula ialah Pengarah Urusan MBRS, Encik Gerard Wong, Pengurus MBRS, Puan Qurratu Ain binti Rohaminordin, Pegawai Eksekutif Pemasaran MBRS, Puan Juwairiyah binti Hashim, Pengurus Kewangan dan Pembangunan MBRS, Cik Elaine Leong, Ketua Makmal Rama-rama dan Serangga, Cik Elysia Yeo Ee Chiew, dan Ketua Bahagian Reptilia Cicak, Cik Michelle Yee Zi Yen.

Objektif lawatan dan perbincangan ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak UiTM dan MBRS, melawat kawasan di sekitar MBRS supaya dapat mencetuskan idea projek yang boleh dijalankan, dan membincangkan dengan lebih terperinci kerjasama yang ingin dilakukan seperti mana yang terkandung di dalam MoU yang telah ditandatangani sebelum ini. Antara perkara yang dibincangkan ialah penempatan pelajar latihan industri yang akan bermula pada semester Oktober-Februari 2023. Pelajar tersebut adalah daripada Fakulti Sains Gunaan dan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang. Perkara berikutnya ialah lawatan akademik ke MBRS yang mana dijangka akan diadakan dalam tahun ini. Semasa perbicangan ini juga, pihak MBRS telah mencadangkan supaya pihak UiTM Cawangan Pahang mengadakan sambutan Hari Serangga Sedunia pada bulan Jun setiap tahun supaya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara kepelbagaian serangga yang terdapat di sekeliling kita.

Selain itu, pihak MBRS juga telah mengumumkan bahawa diskaun bayaran masuk ke MBRS sebanyak 30% akan diberikan kepada semua pelajar UiTM seluruh Malaysia di mana pelajar hanya perlu menunjukkan kad pelajar di pintu masuk MBRS. Secara keseluruhannya, lawatan dan perbincangan ini telah berjalan lancar dan diharapkan segala perancangan akan dapat dijalankan dengan jayanya.