Malaysia, Indonesia, Itali, United Kingdom dan Thailand; sekurang-kurangnya lima buah negara terhubung dan berinteraksi secara atas talian melalui satu program kolaborasi antara Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Himpunan Desainer Interior Indonesia (HDII) DKI Jakarta.
Bertemakan ‘TITIK TEMU’ yang mengetengahkan isu pandemik serta solusi reka bentuk semasa era endemik, program yang dinamakan International Design Lab and Competition (IDL+C) 2021 ini telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD), FSPU UiTM dengan usaha sama HDII yang merupakan persatuan industri senibina dalaman yang tidak asing lagi di Jakarta. Matlamat program adalah untuk menjalankan perkongsian ilmu senibina dan reka bentuk dalaman di kalangan peserta program melalui beberapa design lab dan webinar antarabangsa.
Program ini telah berlangsung dari 6 September sehingga 27 September 2021, merangkumi majlis pembukaan, beberapa webinar antarabangsa, beberapa design lab antara mentor-mentee, design presentation, dan majlis penutup. Bilangan peserta yang menyertai design lab adalah seramai 60 orang, di mana setiap kumpulan terdiri daripada dua mentor bersama empat mentee dari UiTM dan beberapa institusi pendidikan di Jakarta – Institut Kesenian Jakarta, LaSalle College, Sekolah Tinggi Desain InterStudi, Universitas Bina Nusantara, Universitas Esa Unggul, Universitas Mercu Buana, Universitas Tarumanagara, dan Universitas Trisakti.
IDL+C 2021 telah dijalankan secara atas talian sorotan kes Covid-19 yang masih tinggi di Malaysia dan Indonesia; dua negara yang terlibat secara langsung dalam program kolaborasi besar-besaran ini. Antara aplikasi digital yang digunakan sepanjang program ialah Google Meet, Google Classroom, Google Drive, Zoom, Telegram, WhatsApp, Miro dan Webex. Penggunaan aplikasi digital dan platform secara atas talian memudahkan interaksi tanpa sempadan antara negara-negara yang terlibat. Ia juga memacu FSPU ke arah pendidikan inovatif, seiring dengan kemajuan bidang alam bina dan reka bentuk pada masa kini.
Webinar bertajuk “Reducing Anxiety in Living Space through Design” telah disampaikan oleh Effendy Nadzri dari ENDO Kuala Lumpur seusai majlis pembukaan IDL+C 2021, diikuti oleh webinar “Interior Design in Endemic Time and Space” oleh Aoi Hasegawa dari Domus Academy Milan. Webinar yang ketiga membincangkan “Interior Design in Endemic Era” telah disampaikan oleh Julie Ross dari Istituto Marangoni London. IDL+C 2021 disudahi dengan webinar keempat oleh pereka terkenal, Bill Bensley yang bersiar dari kediaman beliau di Bangkok, dengan tajuk “Diversity in Interior Design Approaches Across South East Asia”. Rakaman penuh bagi kesemua webinar ini boleh ditonton di platform YouTube CSIA UiTM.
IDL+C 2021 telah melabuhkan tirai pada 27 September 2021 dengan jayanya. Keempat-empat webinar mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar dan pensyarah berlainan institusi serta industri senibina dalaman. Dengan penglibatan para pelajar UiTM yang merupakan peneraju industri senibina dalaman di masa hadapan, program ini mencapai hasrat dalam mengasuh pemikiran kritis pereka muda bagi menangani isu pandemik melalui reka bentuk alam bina yang berdaya tahan dan mampan.