“Bakul Rezeki BiSA” Mengeratkan Hubungan Sesama Pelajar Pengajian Ukur Bangunan Sewaktu Pandemik

SHAH ALAM – Pada bulan Ogos 2021 yang lalu, Persatuan Pelajar Ukur Bangunan (BiSA) dibawah Pusat Pengajian Ukur Bangunan, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Shah Alam, telah menjalankan sebuah program yang iaitu “Bakul Rezeki BiSA”. Program ini merupakan program kesukarelawan untuk membantu beberapa orang pelajar dari Program Ukur Bangunan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini.

Program ini dilaksanakan dengan memberi sumbangan berbentuk keperluan bekalan makanan harian seperti beras, gula, tepung dan lain lain kepada pelajar yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Seramai 10 orang pelajar dipilih sebagai penerima untuk sumbangan ini melalui tinjauan yang dibuat oleh BiSA sendiri. Disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perjalanan program yang dirancang ini mengalami sedikit perubahan terutama sekali dari segi masa dan kewangan.

Walaubagaimanapun, ianya tidak mematahkan semangat ahli-ahli persatuan untuk menjayakan program ini. Pada peringkat perancangan, program ini asalnya berbentuk pemberian sumbangan secara bersemuka. Namun, atas faktor kesihatan dan keselamatan, kaedah pemberian sumbangan ditukar dengan menggunakan khidmat secara pos, tanpa bersemuka. Segala pembelian dan pengeposan barang sumbangan diuruskan oleh ahli-ahli jawatankuasa program. Setelah semua pembelian barang sumbangan dibuat, setiap pembungkusan barang keperluan tersebut disertakan dengan nota ringkas dan kod QR yang perlu diimbas bagi menandakan barang sumbangan telah selamat sampai kepada penerima.

Selain menjaga kebajikan pelajar, program ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk mengenali dan merapatkan silaturrahim sesama mereka semasa waktu pandemik ini. BiSA berpendapat agar program seperti ini wajar diteruskan agar dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban pelajar yang terkesan dan dapat memupuk semangat kesukarelawan dalam membantu pelajar yang memerlukan.

BiSA ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Pengajian Ukur Bangunan dan Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM Shah Alam kerana memberikan bantuan dan sokongan dalam menyempurnakan program ini. Tidak lupa juga, kepada ahli jawatankuasa dan biro-biro yang turut membantu dalam menjayakan program ini.