Jabatan Sains Asas Fakulti Sains Kesihatan UiTM Selangor dengan kerjasama pihak Masjid Ar-Ridzuan, Kg Bestari Jaya dan pihak NGO Nadi Annisa Muslim Women Organisation Kuala Lumpur & Selangor (Nadi Annisa) telah mengadakan “The Food Bank Project” bagi menyantuni masyarakat sekitar Kg Bestari Jaya baru-baru ini. Sebagai menyahut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 2: Zero Hunger, SDG 3: Good Health and Wellbeing, dan SDG 17 Partnerships for the Goals, inisiatif menjalankan projek bersama komuniti kampung dengan Kerjasama NGO telah berjaya menyantuni kira-kira 100 keluarga yang memerlukan dari kalangan ibu tunggal, asnaf dan komuniti berkeperluan khas. Para peserta yang terlibat juga telah menerima kit keperluan asas dalam bentuk barangan dapur seperti beras, tepung, minyak, gula dan barangan keperluan asas dapur yang lain.
Menurut Pengarah Projek, En Razif Dasiman, Pensyarah Kanan (Fisiologi) Fakulti Sains Kesihatan UiTM, projek ini merupakan salah satu projek yang bersifat volunteerism yang menjadi tunjang kepada University Social Responsibility (USR) bagi menggalakkan penglibatan kerjasama sepenuhnya oleh pihak NGO, warga universiti, alumni UiTM dan penduduk setempat dalam mengenalpasti dan mendekati keluarga-keluarga yang memerlukan, yang berkemungkinan terputus bekalan makanan di hujung bulan sementara menunggu gaji atau bantuan dari mana-mana pihak akibat situasi-situasi mendesak, kemiskinan dan masalah pendapatan yang tidak tetap. Menurutnya lagi, bantuan pakej keperluan asas yang disediakan diharapkan dapat menjadi bekalan penyambung untuk meneruskan kehidupan seharian serta meringankan sedikit beban yang ditanggung.
Antara pengisian utama projek kali ini adalah para peserta dilibatkan dengan Forum Kesihatan Mental dan Pemakanan Sihat bertemakan “Sihatkah kita?” sebelum penyampaian Food Bank diberikan. Panel forum terdiri daripada Pakar Psikologi Klinikal UiTM iaitu Dr Kartini Ilias yang mengulas mengenai isu-isu kesihatan mental dan juga penglibatan Alumni Program Dietetik FSK UiTM iaitu En Arif Fadluddin yang menjelaskan cara-cara pemakanan sihat dan diet seimbang. Yang menarik juga adalah ahli kariah masjid turut sama-sama memasak secara rewang bersama bagi menyediakan makanan. Majlis penyampaian kit bantuan telah disempurnakan oleh wakil Jabatan Sains Asas, dan juga pihak Nazir Masjid Ar-Ridzwan Ustaz Mohd Zamri Amis. Pihak Nazir masjid juga mengharapkan agar program bantuan Food Bank dan juga forum kesihatan ini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang agar membuka mata semua pihak dalam menggembeling peranan para pemain industri, NGO, universiti dan masyarakat luar untuk berkolaborasi bersama dalam membantu masyarakat sekitar terutamanya masyarakat di luar bandar yang memerlukan.