Temubual Myhik Asyik “Bersama UiTM” bersama Pengarah PPT

Satu sesi temubual  Program Pra Pengajian Tinggi (PPT) antara Pengarah PPT (PM. Ts. Dr Aini Jaapar) dan stesen radio AsyikFM  dalam Program: Myhik Asyik “Bersama UiTM” telah diadakan dengan jayanya pada 27 Januari 2021,11.30 pagi melalui panggilan telefon daripada konti. Temubual ini membicarakan tentang “Laluan Pra Diploma Untuk ke UiTM”.

Dalam sesi tembual ini , Pengarah PPT telah membentangkan tentang statistik pelajar Orang Asli  dari data JKOA bermula dari tahun  2010-2020. Seramai 385 pelajar Orang Asli mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Pra Diploma di seluruh negara. Manakala 246 (64%) daripada pelajar Orang Asli yang melanjutkan pelajaran ke Pra Diploma adalah pelajar Pra Diploma di PPT.Ini menunjukkan bahawa  program Pra Diploma Orang Asli di PPT mendapat tempat di hati pelajar-pelajar Orang asli. Antara suku-suku pelajar Orang Asli di PPT terdiri daripada Orang-Orang Asli Semenanjung, Jakun, Negrito, Sakai, Semai, Semalai, Temiar dan Senoi. PPT-Orang Asli ini diwujudkan untuk memberi ruang dan peluang kepada anak-anak Orang Asli terutamanya di bandar dan luar bandar yang tidak berkemampuan dari segi ekonomi mahupun disebabkan kekurangan minat dari segi akademik untuk menimba ilmu di peringkat tertinggi.

Melalui data pelajar Orang Asli PPT diseluruh Malaysia, Pengarah PPT juga memaklumkan bahawa satu kajian telah dibuat untuk melihat pencapaian akademik pelajar Orang Asli.  Hasil daripada kajian,satu penerbitan telah dihasilkan dengan tajuk “Tracing Indigenous Students’ Academic Performance: The Foci of Scholarship and Demographic Background”.Besar harapan PPT agar kajian tentang pencapaian academik pelajar Orang Asli PPT ini dapat membuka mata ramai pihak bahawa status ,taraf hidup dan demografi bukanlah penghalang kepada anak-anak Orang Asli untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Pihak PPT mengharapkan agar tembual ini  mampu menarik minat lebih ramai pelajar Orang Asli dan juga memberi pendedahan kepada ibubapa kepada calon-calon anak Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat Pra Diploma PPT. Pelajar-pelajar Pra Diploma PPT berpeluang untuk melanjutkan pelajaran yang peringkat yang lebih tinggi pada masa-masa yang akan datang iaitu Diploma, Ijazah Sarjana Muda,Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran di UiTM apabila mereka Lulus Naik Taraf(LNT) di peringkat Pra Diploma UiTM.