PKP Tidak Gugat Kecaknaan Pensyarah IPTA Melakukan Penyelidikan

Satu hasil kajian yang dijalankan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran langkah drastik kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid 19 menunjukkan komitmen ahli akademik terhadap kerja-kerja penyelidikan telah menurun. Walaupun begitu kecaknaan mereka terhadap kepentingan penyelidikan tidak tergugat walau terpaksa bekerja dari rumah. Data yang dikumpul bermula pertengahan bulan Mac 2020 itu berakhir pada awal bulan Mei itu bertujuan untuk melihat perhubungan antara kecaknaan pensyarah dan komitmen mereka terhadap pencapaian dasar Sains dan Teknologi Kebangsaan yang mengenengahkan aktiviti penyelidikan dan pengkomersilan sebagai dimensi utama sumbangan institusi akademik.

Selain itu kecaknaan pensyarah mempunyai perhubungan yang signifikan dengan penglibatan ahli akademik dalam kerja-kerja penyelidikan dan pengkomersilan sebaliknya tahap komitmen pensyarah menunjukkan perhubungan yang amat tidak signifikan dengan aktiviti tersebut. Ini menunjukkan para ahli akademik tidak begitu komited terhadap kerja-kerja penyelidikan seperti disarankan oleh universiti sepanjang tempoh PKP.

Kajian yang diketuai oleh Dr Samsudin Wahab, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan serta 3 orang pelajar separuh masa Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) iaitu Mohd Nashriq Samsuddin dari Angilent Technology, Mawarni Abd Rashid dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Afidah Yusoff dari Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya Pulau Pinang. Kajian soalselidik melalui google survey itu telah berjaya mengumpul 186 data dari sasaran 300 responden. Daripada 186 data yang berjaya dikumpulkan 48% merupakan pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), 24% adalah pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), dan masing-masing 14% dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Kos kajian ini telah ditaja oleh FIMATEC GLOBAL SDN BHD sebuah syarikat perundingan teknologi dan pengurusan yang beribu pejabat di Kulim Techno-City, Kedah Darul Aman. Kajian ini didaftarkan dengan Institut Pengurusan Penyelidikan (RMC) UiTM Cawangan Pulau Pinang  dan hanya disasarkan kepada pensyarah akademik universiti awam yang berada di utara semenanjung Malaysia.

Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan pihak pengurusan universiti perlu memastikan para ahli akademik mempunyai prasarana yang mencukupi bagi membolehkan pensyarah-pensyarah terus aktif dalam penyelidikan selain memastikan pensyarah menggunakan masa secara yang terbaik ketika bekerja di rumah. Hasil kajian telah diterima bagi tujuan penerbitan di beberapa makalah dan jurnal antarabangsa dan tempatan termasuk Jurnal INTELEK terbitan UiTM Cawangan Perlis dan Asia Pacific Journal of Social Science Research yang mana kedua-duanya diindeks oleh MyCite Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia. Menurut Profesor Dr Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang langkah yang diambil oleh UiTM Cawangan dalam memantau kegiatan pensyarah ialah dengan meminta agar mereka melakukan clock-in dan clock out sepanjang berada di rumah selain menyarankan pensyarah agar mengikuti slot-slot latihan secara maya yang dianjurkan oleh universiti dari masa ke semasa.