UiTM Kampus Puncak Alam, 30 Oktober 2021: Pelajar Nursing Students Association (NUSA) Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah berjaya menjayakan program Talk with Alumni: Nurses Working in Germany secara atas talian melalui platform Webex. Program ini melibatkan pensyarah dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan (Kepujian).
Program ini dianjurkan atas tujuan memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari bagaimana bekerja di negara luar seperti negara Jerman dapat meningkatkan ilmu dan pengalaman mereka dalam bidang kejururawatan. Selain itu, program ini juga dapat membuka mata pelajar mengenai peluang pekerjaan sebagai jururawat yang banyak ditawarkan di negara Jerman. Program ini dimulakan pada jam 2 petang dengan menunggu ketibaan para pensyarah, penceramah dan para pelajar dari semua sem. Selepas nyanyian lagu dan bacaan doa, program diteruskan lagi dengan ucapan dari pengarah program dan seterusnya dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian Kejururawatan.
Pada jam 3 petang, program ini diteruskan dengan menjemput dua ahli panel yang merupakan alumni dari UiTM Puncak Alam sendiri. Panel yang pertama, Encik Mohamad Faris Bin Mohamad Zaki yang berasal dari Perak. Beliau kini berkhidmat di Krankenhaus Barmherzige Brüder Regensburg sebagai jururawat di wad 4 Thorax Surgery and Pneumonia. Manakala panel kedua pula ialah Encik Mohammad Nazrin Bin Khalid yang bertugas di Seniorenresidenz St Benediktus. Kedua-dua panel ini memulakan sesi perkongsian mereka dengan menayangkan slide yang disediakan oleh Encik Mohamad Faris. Sewaktu sesi perkongsian ini dijalankan, banyak ilmu yang para pelajar telah dapat seperti bagaimana ahli panel boleh membuat keputusan untuk bekerja di sana dan bagaimana penduduk Jerman menerima kedatangan pekerja dari negara Malaysia.
Program seterusnya memberi laluan pula kepada Encik Mohammad Nazrin untuk menceritakan pengalaman beliau ketika bekerja di sana. Sepanjang sesi perkongsian ini, pelajar kejururawatan didapati begitu fokus saat mendengar ahli panel berbicara disebabkan oleh banyak pengalaman baru yang para pelajar perolehi. Sebelum program ini berakhir, moderator telah membacakan beberapa soalan yang didapat menerusi google form. Soalan daripada google form ini adalah soalan yang ditanyakan oleh para pelajar sebelum program bermula lagi. Selain itu, ada juga beberapa orang pelajar yang tidak dapat menyembunyikan rasa ingin tahu mereka lagi dengan melontarkan soalan-soalan kepada ahli panel sepanjang beliau bekerja di Jerman.
Program yang melibatkan 15 ahli jawatankuasa ini perlulah dianjurkan lagi pada masa akan datang. Hal ini dikatakan sedemikian kerana program ini sedikit sebanyak telah membantu pelajar kejururawatan untuk lebih bersemangat dalam menuntut ilmu lalu bercita-cita tinggi dalam mencapai kerjaya yang hebat dalam hidup mereka. Program seperti ini juga patut dilakukan pada masa akan datang kerana ia dapat mengeratkan silaturrahim sesama ahli jawatankuasa semasa mengendalikan program agar ia dapat berjalan dengan lancar.