Taklimat Tatacara Penggunaan Turnitin

Satu sesi Taklimat Tatacara Penggunaan Sistem Turnitin telah diadakan oleh Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) UiTM pada 14 Julai 2021. Sesi taklimat berlangsung selama dua jam bermula dari jam 2.30 petang hingga jam 4.30 petang. Sesi Taklimat ini di siarkan secara langsung di YouTube Live Academic Assessment and Evaluation Division. Sesi ini terbuka kepada semua warga UiTM, khususnya pensyarah dan pelajar yang banyak menggunakan Sistem Turnitin di dalam pentaksiran dan penilaian. Sesi taklimat telah disampaikan oleh Encik Mazlan Abd Latif, wakil vendor Turnitin di Malaysia.

Taklimat yang disampaikan memberi fokus kepada penggunaan Sistem Turnitin bagi pensyarah dan juga pelajar. Peserta telah diberikan maklumat tentang asas penggunaan bermula dari pendaftaran akaun, penghasilan kelas dan tugasan beserta tetapan, hingga ke pembacaan peratusan kesamaan serta potensi ketidakpatuhan akademik oleh pelajar. Pelajar pula telah diberi makluman tentang pendaftaran akaun, serta prosedur penghantaran tugasan. Sambutan yang amat baik terhadap sesi taklimat ini dapat dilihat melalui maklum balas peserta yang kelihatan bertenaga dari awal hingga ke akhir sesi dengan lontaran pelbagai persoalan di ruangan chatbox yang telah disediakan.

Di dalam sesi taklimat ini juga, warga UiTM diingatkan agar sentiasa menjaga integriti akademik, termasuk di dalam penggunaan Sistem Turnitin. Untuk makluman kepada semua, Penggunaan Sistem Turnitin adalah dipantau oleh pihak BPPA dan sebarang salah laku penggunaan sistem akan diambil tindakan oleh pihak UiTM.

Sesi taklimat Tatacara Penggunaan Sistem Turnitin ini telah ditonton secara langsung lebih 1,000 warga dan ditonton secara ulangan sebanyak 5,211 kali di siaran YouTube BPPA. Menyahut seruan peserta, sesi taklimat ini juga telah dimuat naik ke siaran YouTube BPPA dan boleh ditonton di pautan https://youtu.be/wXG8120jh-k. Sesi ini diharap dapat membantu warga UiTM dalam menggunakan Sistem Turnitin dengan lebih efisien.

Kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari warga UiTM adalah amat dihargai. Warga Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) amat berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjalankan sesi taklimat kali ini.