Ucapan sulung Naib Canselor UiTM telah merangkumi aspirasi akademik dan kemajuan universiti, menekankan transisi dari fokus yang terhad pada bidang atau latihan profesional kepada pengalaman pembelajaran yang lebih holistik. Model A.D.A.B diperkenalkan sebagai inisiatif untuk memastikan pengalaman pembelajaran pelajar tidak terhad secara eksklusif kepada disiplin bidang, tetapi juga memupuk nilai dan keinsanan. Pada 7 September 2021, Model A.D.A.B telah diluluskan di senat UiTM dengan bilangan 274. Pekeliling Akademik Bilangan 19, Tahun 2022 dikeluarkan pada 8 Disember 2022 dan berkuatkuasa mulai 1 November 2021, dimana model ini memperincikan penggunaan Model A.D.A.B dalam proses pengajaran dan pembelajaran di UiTM. Justeru, satu taklimat bekenaan aspirasi ini telah berjaya dianjurkan bagi menyebarkan pengetahuan dan penggunaan Model A.D.A.B dalam kalangan pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Pulau Pinang.
Taklimat ini bertujuan untuk memberi maklumat terperinci mengenai Model A.D.A.B, langkah penyampaian, dan aplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Tambahan lagi, peserta juga akan didedahkan dengan template “TeachTrack: A.D.A.B Weekly Planner” untuk memudahkan pensyarah mengadunkan model A.D.A.B ini dalam merancang pengajaran. Taklimat ini telah dianjurkan oleh wakil Champion A.D.A.B. UiTM, Cawangan Pulau Pinang, dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Akademik, UiTM, Cawangan Pulau Pinang pada 26 September 2023 bersamaan hari Selasa mulai 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Taklimat ini telah dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Microsoft Teams. Penceramah jemputan adalah Dr. Nurul Badriyah Ali daripada Collaborative Group A.D.A.B CIDL. Beliau telah memperkenalkan dan memperincikan penerapan Model A.D.A.B di dalam pengajaran dan pembelajaran. Disamping itu, tatacara penggunaan TeachTrack: A.D.A.B Weekly Planner telah disampaikan oleh En. Lim Teck Heng, pensyarah Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Taklimat ini dihadiri oleh seramai 206 peserta pada sesi pendaftaran yang bermula pada pukul 8.45 pagi. Pada pukul 9.00 pagi, bacaan doa dibacakan bagi memberkati taklimat ini dan dirasmikan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Noraini Sulaiman, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Pulau Pinang. Ucapan tersebut melibatkan aspirasi akademik universiti dan penekanan terhadap pengalaman pembelajaran secara holistik. Beliau menerangkan tentang visi yang jelas mengenai kepentingan Model A.D.A.B di UiTM. Seterusnya, sesi ceramah bermula pada jam 9.30 pagi dengan taklimat oleh Dr. Nurul Badriyah Ali mengenai Model A.D.A.B. Dalam tempoh 2 jam berlangsungnya taklimat ini, peserta dijelaskan tentang langkah-langkah pengenalan, konsep, penyampaian, dan aplikasi Model A.D.A.B. Kesimpulan yang dibuat pada akhir taklimat memberikan gambaran keseluruhan dan sekali gus memberi pencerahan tentang tujuh elemen dan lapan nilai dalam model ini.
Selepas itu, sesi soal jawab daripada peserta kepada penceramah telah memberikan ruang untuk peserta taklimat memahami konsep Model A.D.A.B serta sekaligus mengukuhkan pemahaman bersama. Seterusnya pada jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 tengah hari, En. Lim Teck Heng memberikan taklimat mengenai penggunaan “TeachTrack: A.D.A.B Weekly Planner.” Dengan pengenalan template ini, pensyarah digalakkan untuk merancang pengajaran mereka dengan mengadun elemen dan nilai ADAB dalam pengajaran dan pengajaran. Taklimat ini tamat pada pukul 1 tengah hari dan melalui taklimat ini, staf akademik di UiTM Cawangan Pulau Pinang bersedia memberi komitmen untuk pengalaman pembelajaran yang lebih baik dan holistik kepada pelajar. Semoga usaha ini membawa sinar baru dalam dunia pendidikan tinggi dan memupuk nilai-nilai cemerlang dalam kalangan staf akademik UiTM. Seterusnya, taklimat ini dapat mencapai objektif yang disasarkan melalui kerjasama daripada semua pihak serta mudah-mudahan usaha untuk kemenjadian insan ini dirahmati Allah S.W.T.