SHAH ALAM – Program webinar bersiri atas talian anjuran secara kolaborasi antara Shariah in the Built Environment (SiBE), Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, South East Asia Built Environment Research Center (SEABERC) dan Muamalat in Islamic Built Environment (MiLBE), Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan telah dijalankan pada 12 November 2021. Siri ketujuh edisi kedua webinar yang bertajuk ‘TAKAFUL UNTUK KERJA PEMBINAAN: KONSEP DAN APLIKASI’ telah menampilkan panel jemputan Sr Dr. Puteri Nur Farah Naadia Mohd Fauzi, Direktor Program Ukur Bahan/Pengurusan Projek Pembinaan, Universiti Heriot Watt Malaysia sebagai penceramah utama. 100 peserta terdiri daripada pelajar, staf, alumni Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur serta pemain industri pembinaan menyertai program ini menerusi aplikasi Cisco Webex.
“Takaful merupakan skim insuran yang patuh Shariah, masih baru jika dibandingkan dengan industri kewangan yang lain namun mendapat tempat di kalangan masyarakat. Kadar penetrasi dalam pasaran masih kurang memberangsangkan namun peluang yang signifikan dapat dilihat untuk masa akan datang, “ujar Sr Dr. Puteri Nur Farah Naadia Mohd Fauzi.
“Pada asasnya, takaful beroperasi dalam lingkungan Syariah iaitu yang pertama, perkara berkaitan dan objektif perniagaan yang dimaksudkan adalah tidak menyalahi undang-undang di bawah Syariah. Kedua, kontrak mestilah bebas daripada riba (riba), gharar (ketidakpastian) dan maysir (perjudian). Ketiga, kontrak tidak sepatutnya bertujuan untuk mendapatkan keuntungan peribadi kepada seorang peserta dengan mengorbankan peserta lain, dan keempat para peserta mesti bersetuju untuk bekerjasama untuk kebaikan bersama mereka sendiri dan mesti berbuat demikian tanpa paksaan,. Para peserta mesti bersetuju untuk membayar sumbangan untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan” tambah beliau lagi.
Industri pembinaan sering dikaitkan dengan elemen 3D iaitu ‘dirty’ (kotor), ‘difficult’ (mencabar) dan ‘dangerous’ (bahaya). Pemain industri yang bekerja di tapak bina dan orang awam juga terdedah kepada kemalangan dan kematian akibat daripada kecuaian. Dengan mengaplikasi konsep takaful, bukan sahaja merupakan satu skim yang komprehensif malahan patuh shariah.
Moderator webinar, Sr Awang Ihsan Awang Yunus menjemput peserta untuk mengikuti laman youtube Shariah in Built Environment (SiBE) FSPU UiTM untuk mengakses rakaman video webinar terdahulu dan menamatkan program pada jam 12 tengah hari.