SHAH ALAM, 6 Februari 2024 – ‘Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima’. Pihak HEP Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) sentiasa menunjukkan kepekaan berterusan terhadap keperluan pelajar. Ini terbukti melalui inisiatif HEP KPPIM mengurangkan beban kewangan pelajar dengan menyumbang kotak rezeki untuk kegunaan di minggu-minggu akhir pengajian. Kotak rezeki yang terdiri dari makanan dan keperluan asas yang lain diagihkan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dari segi wang ringgit telah disalurkan agar pelajar mempunyai bahan keperluan dan dapat fokus kepada persediaan peperiksaan. Inisiatif Kotak Rezeki yang dianjurkan buat kali ketiga ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari para penyumbang dan juga penerima yang melibatkan kampus Shah Alam dan Puncak Perdana.
Penolong Naib Canselor KPPIM, Prof. Ts. Dr Haryani Haron dan Dekan HEP, En Mohd. Nazrul Mohd Amin juga turut turun padang bagi mengagihkan sumbangan ini di kolej kediaman serta rumah para pelajar. Menurut Dr Suzana Ahmad, Ketua Kebajikan dan Kesejahteraan Pelajar, HEP KPPIM,sumbangan-sumbangan yang berjumlah RM5,000 ini bukan sahaja datangnya daripada para pensyarah dan staf pentadbiran malah daripada pelajar-pelajar KPPIM sendiri. Ini mencerminkan sifat muafakat dan kekeluargaan yang sentiasa disemai di KPPIM.
Seramai 42 pelajar non residen dan 25 pelajar residen yang telah menerima sumbangan kotak rezeki ini rata-rata menzahirkan kesyukuran dan terharu atas sumbangan ini yang telah meringankan kos belanja bulanan sekaligus memudahkan proses pembelajaran mereka.