Sultan Selangor Perkenan Berbuka Puasa Bersama Warga UiTM

SHAH ALAM, 29 MAC 2024 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ketibaan baginda pada  6.45 petang turut diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abd Kadir, Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri serta Pengerusi UiTM Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose dan isteri, Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan isteri serta Barisan Pengurusan Universiti.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin binti Abdul Rahman berkenan menyerahkan sumbangan Hari Raya kepada 100 orang pelajar asnaf.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah bersama-sama penerima sumbangan hari raya dan warga Universiti Teknologi MARA.

Galeri Gambar: