Dengan semangat cinta akan orang asli, seramai 30 orang pelajar kelas kokurikulum Khidmat Komuniti UiTM Shah Alam bersama seorang Jurulatih Kokurikulum telah mengadakan program komuniti Service Learning Malaysia (SULAM) di Kampung Orang Asli Tekir Mentera, Negeri Sembilan pada 24 Jun lalu.
Bertemakan “Mahasiswa Santuni Orang Asal” program SULAM ini bertujuan untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan bersama masyarakat orang asli di samping pelajar memperoleh ilmu daripada mereka. Kelas kokurikulum khidmat komuniti ini merupakan salah satu daripada kelas kokurikulum pembinaan diri yang ditawarkan di UiTM.
Program ini mendapat sokongan daripada Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM Shah Alam dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dengan kerjasama Hospital Aurelius Nilai. Ia melibatkan kira-kira 60 orang kanak-kanak berumur antara 7-12 tahun dan 60 orang dewasa daripada kampung tersebut.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program selama satu hari tersebut berlangsung adalah gotong-royong, pembaikan surau dan tandas di balai raya, aktiviti sukaneka bersama penduduk Kampung Orang Asli Tekir Mentera dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Jurulatih kelas kokurikulum khidmat komuniti, Nor Hisyam Husin berkata, program sebegini diadakan pada setiap semester untuk semua pelajar yang mengambil subjek tersebut. Projek khidmat komuniti ini merupakan projek jangka masa panjang di mana antara salah satu objektif adalah pelajar mengaplikasi segala ilmu dan kepakaran yang mereka ada kepada komuniti orang asli. Selain itu juga ianya projek ini secara tidak langsung membina sahsiah diri pelajar dan melahirkan pelajar yang mempunyai nilai softskill yang baik seperti kepimpinan, kerjasama dan sebagainya. Pelajar bukan sahaja memberi khidmat bakti, tenaga dan kepakaran kepada penduduk orang asli, malah pelajar juga telah diajar beberapa ilmu dari komuniti orang asli seperti proses menganyam dari pelepah kelapa.
Pengarah program, Nurul Izzati Kamarudin pula berkata, kampung tersebut dipilih sebagai kawasan projek mereka pada semester ini kerana budayanya yang unik.
“Ramai antara kami yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke kampung orang asli, selain dapat menghulurkan tangan, kami juga dapat menimba pengalaman baru,” ujarnya yang juga merupakan seorang pelajar Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik.
Kata Izzati lagi, beliau amat berbesar hati dipilih mengetuai pasukan yang memberi kerjasama yang amat tinggi sepanjang perancangan program sehingga hari program berlangsung. “Ini kali pertama saya menjadi ketua untuk program sebegini. Semestinya tiada perkara yang mudah namun saya bersyukur kerana pasukan yang saya ketuai mempunyai kerjasama yang sangat kuat. Saya juga dapat melatih sikap kepimpinan saya yang semestinya berguna pada masa akan datang,” katanya.
Tok batin Kampung Tekir Mentera, Ramli Taka juga meluahkan rasa keterujaannya menyambut pihak daripada UiTM Shah Alam dan Hospital Aurelius Nilai.
“Setelah saya mendengar bahawa pihak UiTM dan Hospital Aurelius mahu datang ke sini, saya terus war-warkan perkara tersebut di group WhatsApp kampung kami,” ujar Ramli.
Ramli juga menyuarakan harapannya terhadap program ini. “Harapan saya dengan kedatangan kedua-dua pihak ini semoga selepas ini warga kampung ambil cakna tentang gotong-royong dan kebersihan kampung. Mungkin satu hari nanti mereka akan buat sendiri perkara itu tanpa perlu disuruh,” Beliau juga merakamkan ribuan terima kasih pihak UiTM yang sudi melaksanakan projek kemasyarakatan bersama komuniti di sini.