Sukan Rakyat (SUKRA) merupakan salah aktiviti yang telah dianjurkan oleh Kelab Warisan Budaya UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka pada tarikh 21 Oktober 2023. Sukan ini menghimpunkan beberapa permainan tradisional seperti Boling Kelapa, Pukul Berapa Datuk Harimau, Terompah Gergasi, Congkak, Galah Panjang dan Main Guli. Segala permaian ini akan dilakukan secara berkumpul. Di samping mewujudkan semula permainan tradisional, melalui aktiviti sebegini dapat memupuk semangat kerjasama di antara para pelajar bahkan meningkatkan rasa cinta dan bangga terhadap permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda sekarang.
Permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda kerana wujudnya permainan digital. Permainan tradisional merupakan satu permainan yang dimainkan oleh pelbagai lapisan umur tidak kira muda mahupun tua. Permainan ini telah diperkenalkan dan telah dimainkan sejak dulu kala. Permainan tradisional menunjukkan salah satu identiti Malaysia di mana permainan ini hanya terdapat di Malaysia dan sekiranya permainan ini terdapat di negara luar seperti Indonesia mahupun Brunei tetapi cara permainan ataupun nama setiap permainan adalah berbeza. Akan tetapi di era globalisasi ini berlakunya perubahan dari segi teknologi yang semakin canggih sehingga wujudnya permainan digital. Dengan adanya permainan berbentuk digital telah memberikan kesan kepada permainan tradisional kerana masyarakat pada masa kini lebih memilih pemainan digital berbanding permainan tradisional. Oleh kerana berlakunya perkembangan yang pesat pada teknologi pada zaman sekarang bahkan disokong lagi dengan rangkaian WIFI yang boleh diakses bila-bila masa dan di mana sahaja telah mendorong peningkatan permainan secara digital pada telefon mahupun laptop. Oleh yang demikian, masyarakat generasi moden lebih tertarik bermain permainan digital berbanding permainan tradisional seperti congkak, galah panjang dan lain-lain
Di samping itu, dengan adanya permainan digital ini telah menimbulkan kegusaran orang ramai terutama kepada generasi terdahulu kerana berkemungkinan besar permainan tradisional semakin dilupakan atau “hilang” kerana ditelan dek zaman. Penyataan ini dapat dikukuhkan kerana menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit, radio dan televisyen kekal melebihi 95 peratus. Oleh yang demikian tidak hairanlah sekiranya masyarakat Malaysia zaman sekarang lebih gemar bermainan permainan digital kerana adanya capaian internet yang semakin meningkat bahkan merujuk DOSM mendapati bahawa penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas juga meningkat kepada 97.4 peratus pada 2022 berbanding 96.8 berbanding tahun sebelumnya dan ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus. Di samping itu, merujuk laporan tahunan yang telah dikeluarkan oleh Meltwater mendapati bahawa sebanyak 87.4 peratus pengguna internet di Malaysia berusia 16 hingga 64 tahun, bermain permainan video di mana-mana peralatan. Ini menunjukkan bahawa peratus penggunaan bagi permainan video di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding penanda aras global 81.9 peratus sekaligus menunjukkan rakyat Malaysia lebih memilih bermain permainan sebegini berbanding permainan tradisional.
Seterusnya, menurut titah oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, permainan komputer dan digital merupakan permainan yang kurang menyihatkan tubuh badan bahkan permainan sebegini juga boleh menyebabkan wujudnya jurang sesama manusia kerana mereka lebih gemar menghabiskan masa bersendirian di hadapan komputer mahupun telefon bimbit Oleh itu, baginda bertitah bahawa permainan tradisional merupakan permainan yang menjadi identiti negara akan tetapi permainan ini semakin dipinggir masyarakat terutama generasi muda berikutan perkembangan pesat teknologi.
Bagi mengekalkan permainan tradisional ini, terdapat beberapa tindakan atau cadangan yang boleh dilakukan oleh orang ramai seperti menjadikan permainan tradisional sebagai aktiviti kelab atau aktiviti tahunan kerana aktiviti sebegini boleh dilakukan oleh kebanyakkan pihak antaranya seperti aktivti kelab yang telah dijalankan oleh Kelab Warisan Budaya di UiTM Kampus Bandaraya Melaka di mana aktiviti ini telah dijalankan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara para pelajar melalui sukan rakyat sekaligus permainan tradisional ini dapat diterapkan dalam diri kalangan pelajar. Di samping itu, pihak sekolah juga boleh menjadikan permainan tradisional ini sebagai salah satu aktiviti sukan. Oleh itu dengan menerapkan atau menjadikan permainan tradisional ini sebagai salah satu aktiviti kelab pada peringkat universiti mahupun peringkat sekolah, terdapat kesan positif yang dapat dilihat seperti kita dapat mengekalkan permainan tradisi bagi masyarakat Malaysia walaupun adanya permainan digital yang menjadi pilihan orang zaman sekarang tetapi permainan tradisional masih menjadi pilihan orang ramai untuk dimainkan bersama terutama pada masa lapang.
Akhir kalam marilah kita bersama mengekalkan dan memartabatkan permainan tradisional supaya kekal relevan di zaman modenisasi ini. Sebagai penutup bicara terdapat satu pepatah melayu bagi mengekalkan permaianan tradisional iaitu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.”
Nur Syafiqa Abdul Wahab & Siti Daleela Mohd Wahid
Penulis UiTM Cawangan Melaka