Simposium Kecemerlangan Operasi 2022 bertemakan “Mengimbangi Operasi dan Inovasi”

SHAH ALAM, 9 November 2022 – Simposium Kecemerlangan Operasi 2022 anjuran Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) telah berlangsung di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam. Bertemakan ‘Mengimbangi Operasi dan Inovasi’, simposium ini memfokuskan kepentingan penambahbaikan proses kerja agar seimbang dengan inovasi yang dihasilkan. Simposium ini juga merupakan kali keempat dianjurkan oleh pihak InQKA.

YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM telah meluangkan masa untuk merasmikan simposium. Seramai 165 orang peserta telah hadir termasuk barisan Pengurusan Eksekutif Universiti. Penceramah jemputan iaitu Tuan Haji Ariffin bin Hassan, Executive Chairman, ABH Inspire Global Sdn. Bhd. telah menyampaikan syarahan beliau yang bertajuk Role of Leadership in Organisational Change via Operational Excellence. manakala sesi perkongsian Strategi Pelaksanaan Kecemerlangan Operasi telah disampaikan oleh Tuan Haji Azizi Jantan, Ketua Timbalan Pustakawan, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR). Naib Canselor UiTM, melalui ucapan beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga UiTM yang atas komitmen dan usaha yang telah diambil untuk membudayakan penambahbaikan berterusan. Beliau turut menegaskan bahawa kepuasan hati pelanggan perlu diberi keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan.

Memetik ucapan aluan oleh Penolong Naib Canselor InQKA, sepanjang tahun 2021 sesi taklimat dan forum telah dilaksanakan untuk menyuntik semangat kepada semua warga universiti untuk terus mendokong Kecemerlangan Operasi. Justeru, sebagai acara kemuncak Kecemerlangan Operasi, simposium ini menjadi wadah perkongsian amalan terbaik pusat tanggungjawab (PTJ) dalam aktiviti penambahbaikan proses kerja serta sebagai peluang jaringan kepada semua warga UiTM yang terlibat di dalam pelaksanaan dan pembudayaan kecemerlangan operasi di PTJ masing-masing.

Simposium Kecemerlangan Operasi 2022 pada tahun ini mencipta kelainan dengan aktiviti penulisan hasil penambahbaikan proses kerja melalui sesi Klinik Pelaporan Kecemerlangan Operasi. Para peserta telah diberi pendedahan untuk menghasilkan laporan yang mantap dan memenuhi kriteria penilaian. Dengan bantuan Fasilitator, ASP/PB Mohd Tarmizi Abdul Raman, sesi ini telah banyak membantu peserta untuk lebih memahami apakah aspek dan kriteria penting untuk melaporkan penambahbaikan proses kerja.

Pihak InQKA berharap simposium yang dianjurkan akan menjadi pencetus semangat kepada semua PTJ untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam menjadikan aktiviti penambahbaikan proses kerja satu amalan.