SHAH ALAM, 22 JUN 2023 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2022/2023 telah menganjurkan sesi Townhall Pengurusan UiTM bersama Wakil Kelab dan Persatuan Mahasiswa UiTM bertempat di Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Seroja, UiTM Shah Alam. Sesi townhall ini telah menghimpunkan majoriti presiden dan wakil daripada kelab dan persatuan UiTM yang terdiri daripada persatuan dalaman dan luaran serta wakil Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman UiTM Shah Alam.
Antara objektif utama penganjuran sesi townhall ini adalah untuk membincangkan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa khususnya persatuan-persatuan dan badan wakil pelajar di bawah seliaan BHEP. Selain itu, program ini menyediakan peluang kepada MPP dalam mendengar dan menganalisis masalah yang dihadapi oleh persatuan untuk dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi UiTM bagi mencari solusi yang terbaik. Dalam pada itu, platform townhall ini dapat memberi peluang komunikasi dua hala secara terus antara pengurusan UiTM dan persatuan pelajar di samping para pemimpin pelajar juga diberi pendedahan berkaitan pengurusan dan pengendalian tadbir urus organisasi.
Perbincangan townhall ini melibatkan aspek kebajikan, perundangan dan keselamatan, pembangunan aktiviti pelajar, pembangunan dan fasiliti kemudahan dan banyak lagi. Melalui program ini, ia pastinya dapat membantu BHEP dalam mendengar suara pelajar kerana ia penting dalam menambah baik sistem penyampaian dan kebajikan HEP secara amnya. Antara perkara yang telah dibincangkan dalam sesi townhall ini adalah isu parkir kenderaan pelajar, prosedur permohonan penganjuran aktiviti pelajar, kadar bayaran penganjuran aktiviti, masalah fasiliti dan sebagainya. Semua isu yang dibincangkan ini telah direkodkan dan akan diserahkan kepada BHEP bagi tindakan selanjutnya.
Sesi townhall ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Menerusi ucapannya, beliau berkata, “selaras dengan aspirasi Menteri KPT, untuk melaksanakan permerkasaan mahasiswa dengan mahasiswa akan diberikan autonomi melalui MPP untuk menguruskan kewangan sendiri, dan meluluskan program serta mengendalikan pilihanraya kampus, saya percaya bahawa inisiatif seperti ini dapat membuka mata pelajar dan pengurusan tentang pembangunan aktiviti pelajar”. Turut hadir ke sesi townhall ini ialah barisan Pengurusan Eksekutif HEP, pengetua-pengetua kolej kediaman, wakil Bahagian Pengurusan Fasiliti, wakil Barisan Pengurusan Kenderaan, wakil Polis Bantuan dan Pusat Tanggungjawab (PTj) yang berurusan secara terus dengan para pelajar.
Kesimpulannya, penganjuran townhall ini dapat memberi pendedahan jelas dan efektif kepada pelajar dan pihak pengurusan UiTM berkaitan pandangan dan pendapat berkenaan isu yang dibahaskan. BHEP berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, sekaligus membantu pihak UiTM dalam menambah baik sistem dan pengurusan sedia ada.