Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ (Siri 5), Bahagian Pentaksiran Dan Penilaian Akademik

Sesi Sembang Ofis Kita Siri 5 BPPA telah berlangsung pada 14 Jun 2021 di aplikasi Google Meet. Tajuk sesi kali ini ialah Pengurusan Sumber Manusia yang disampaikan oleh Puan Siti Rafidah Mohamed Anuar, Kerani Kanan bermula jam 10.00 pagi.

Pengurusan Sumber Manusia ditakrifkan sebagai suatu sistem yang komprehensif dan bersepadu bagi mengurus tenaga kerja secara efektif dalam usaha untuk mencapai matlamat bersepadu. Selain itu, Puan Siti Rafidah juga menerangkan tanggungjawab sumber manusia di UiTM adalah untuk menghayati dan berpegang teguh kepada ESI (Kecemerlangan, Sinergi, Integriti) dan i-DART terdiri daripada Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab.

Warga BPPA juga dijelaskan tentang peranan moderator di BPPA iaitu menjaga urusan berkaitan e-pengambilan staf, e-prestasi, pengurusan waktu bekerja (TMS), e-KPW, e-latihan, e-disiplin, Sistem Saring C-19 dan e-kenaikan pangkat.

Pengurusan Sumber Manusia bertanggungjawab memastikan keperluan sumber manusia adalah mencukupi dan bersesuaian dengan keperluan fungsi dan peranan, memastikan segala keperluan perkhidmatan staf dilaksanakan berpandukan kepada ketetapan pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM), memastikan disiplin staf sentiasa berada di tahap yang baik serta mengambil tindakan ke atas staf yang melanggar peraturan melalui Jawatankuasa Tatatertib dan memastikan prestasi staf dinilai setiap tahun untuk pengiktirafan dan pembangunan kerjaya staf.

Sesi Sembang Ofis kita Siri 5 berakhir pada jam 10.45 pagi. Diharapkan agar semua warga BPPA dapat memahami proses kerja di bawah pengurusan sumber manusia di samping bersama-sama memikul amanah dan tanggungjawab kerja dengan sepenuh hati.