Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ (Siri 2), Bahagian Pentaksiran Dan Penilaian Akademik

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah mengadakan Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ Siri 2 yang disampaikan oleh Puan Farah Milah Muslim, Penolong Pendaftar Kanan. Sesi yang berlangsung pada 3 Mei 2021 yang lepas bertujuan memberikan penerangan kepada warga BPPA berkenaan Tatacara Penyediaan Deskripsi Tugas / Job Description (JD).

Deskripsi Tugas (Job Description-JD) merupakan dokumen yang menjelaskan tujuan pewujudan sesuatu jawatan dengan mengambil kira komponen akauntabiliti, dimensi dan kompetensi yang diperlukan bagi sesuatu jawatan dalam organisasi. JD dapat membantu untuk menterjemahkan hasil daripada tugas tertentu dengan lebih jelas bertepatan dengan objektif penubuhan sesebuah agensi.

Program yang dimulakan pada jam 10.00 pagi turut dijelaskan oleh Puan Farah tentang 8 komponen utama JD iaitu Maklumat Umum, Tujuan Pengwujudan Jawatan, Akauntabiliti, Tugas Utama, Dimensi, Kelayakan Akademik, Kompetensi dan Pengalaman.

Penyediaan JD dapat membantu menghuraikan tanggungjawab sesuatu jawatan berdasarkan akauntabiliti yang ditetapkan selain dapat mengenalpasti kompleksiti tugas mengikut jawatan dan gred yang ditetapkan. Selain itu, penyediaan JD bertujuan mengenal pasti hubung kait tugas di antara penyelia dan pegawai di bawah seliannya di samping dapat mengenal pasti jurang antara kompetensi jawatan dengan kompetensi pegawai.

Objektif lain penyediaan JD untuk menjelaskan skop fungsi dan sempadan sesuatu jawatan untuk memastikan tiada pertindihan fungsi/tugas di antara satu jawatan dengan jawatan yang lain dan merancang keperluan sumber manusia sektor awam yang komprehensif, holistik dan bersifat strategik.

Program ini mengambil masa lebih kurang 30 minit dan berakhir pada jam 10.30 pagi. Semoga sesi perkongsian kali ini bermanfaat untuk semua warga BPPA sebagai rujukan dalam penyediaan JD masing-masing.