Sesi Sembang Ofis Kita Siri 10, Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah berlangsung dengan jayanya pada 27 Julai 2021 yang lalu. Program ini telah diadakan secara atas talian melalui medium ‘Google Meet’.
Puan Intan Syazlina Mohd Ali, Penolong Pendaftar Kanan dari MASMED telah dijemput bagi menyampaikan taklimat kali ini yang bertajuk Penggunaan Aplikasi Canva. Program yang bermula pada 3.00 petang, dimulakan dengan ucapan kata aluan oleh Puan Farah Milah Muslim, Penolong Pendaftar Kanan, BPPA.
Untuk sesi Sembang Ofis Kita pada kali ini, warga BPPA sama-sama saksikan dan belajar secara virtual bersama Puan Intan Syazlina Mohd Ali bagaimana membuat reka bentuk serta corak yang kreatif serta percuma dengan aplikasi Canva. Menerusi program ini, warga BPPA telah diperkenalkan dengan aplikasi Canva iaitu aplikasi atas talian yang percuma untuk pengguna yang ingin membuat pelbagai bentuk creative design secara virtual dan atas talian.
Aplikasi Canva mempunyai pelbagai template untuk pelbagai jenis kegunaan. Aplikasi tersebut tidak terhad kepada membuat peta minda sahaja tetapi boleh membuat reka bentuk logo, resume, surat, kad perniagaan (business card) termasuk membuat sijil penghargaan. Selain dari itu, pengguna juga boleh menyunting video menarik.
Pelbagai jenis reka bentuk yang boleh dan mudah dibuat secara dalam talian dan antaranya adalah kad ucapan, poster, brosur, infografik dan lain-lain lagi. Canva boleh diakses dengan mudah melalui web atas talian atau melalui telefon mudah alih.
Melalui sesi tersebut, warga BPPA juga telah didedahkan perbezaan antara aplikasi Canva dan Adobe Photoshop yang mana aplikasi Canva sangat mudah, sesuai untuk pengguna amatur manakala Adobe Photoshop untuk kegunaan profesional. Selain itu, beliau juga menerangkan cara menggunakan pilihan menu di aplikasi Canva iaitu Template, Uploads, Photos, Elements, Text, Videos, Background dan Folders. Dalam sesi ini warga BPPA juga mempelajari langkah-langkas asas iaitu dengan membuat akaun Canva terlebih dahulu dan seterusnya membuat reka bentuk sendiri dengan sangat mudah. Aplikasi Canva juga mempunyai tema serta warna yang pelbagai dan boleh diubah mengikut kesesuaian.
Atur cara program diselang selikan dengan sesi soal jawab dari peserta dan program berakhir pada jam 4.15 petang. Semoga sesi perkongsian ini dapat memberi faedah dan manfaat kepada semua yang terlibat serta dapat membantu kita menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih menarik.