Program Rise and Glory of e-sport ( INC RAGE 2021)

Program Rise and Glory of e-sports anjuran pelajar semester 5 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Antarapersonal) daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam telah berakhir dengan jayanya.

Program kolaborasi bersama Persatuan Sukan Elektronik Selangor (ESS) ini adalah bertujuan untuk memberikan perkongsian berkaitan kerjaya, pengurusan dan pembangunan masa hadapan e-sukan di Malaysia sekaligus dapat memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mengetahui dengan lebih mendalam megenai e-sukan di Malaysia.

Menurut Ketua Projek INC RAGE 2021, Alief Albakry Bin Jimmy Albakry, lima sesi webinar, empat sesi podcast serta dua pertandingan telah diadakan sepanjang program ini berlangsung dari 25 Jun sehingga 3 Julai 2021.

Panel yang dijemput untuk sesi webinar pada 2 dan 3 Julai 2021 merupakan mereka yang sangat berpengalaman dan berpengetahuan luas di dalam bidang e-sukan iaitu personaliti e-sukan Nuredy bin Nursal (Daddyhood), pengulas e-sukan Mohamad Hilmi Mohamad (Emi Mohamad) dan Muhammad Fawwaz bin Md Sehaimi (Soultannn) serta Presiden dan wakil dari Persatuan Sukan Elektronik Selangor (ESS) sendiri iaitu Encik Abdul Razak Bin Dato Haji Mohd Yusof dan Encik Mohammad Shukri Hashim.

Antara intipati penting hasil daripada webinar hari pertama yang menampilkan Soultannn dan Emi Mohamad ialah, untuk menjadi seorang pengulas professional e-sukan ialah seseorang itu mestilah mempunyai minat yang diimbangi dengan usaha yang kuat kerana bagi Soultannn dan Emi, minat tanpa usaha adalah sesuatu yang sia-sia. Selain itu, mereka juga menekankan agar sesiapa yang ingin menjadi pengulas e-sukan haruslah mengabaikan komen negatif yang tidak membina asalkan kita sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama dan telah mendapat restu daripada kedua ibu bapa serta keluarga.

Manakala, speaker jemputan daripada ESS iaitu Encik Abdul Razak dan Encik Mohamad Shukri berkongsi berkenaan dengan modul pembangunan yang telah dirangka oleh pihak ESS untuk mengembangkan lagi sektor e-sukan di dalam Negeri Selangor khususnya. Antara modul yang telah dirangka ialah modul pembangunan pemain, pengulas e-sukan,juralatih dan pengurusan. Matlamat modul pembangunan ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada peminat e-sukan untuk memperbaiki kemampuan mereka seterusnya menjadi seorang yang berjaya di dalam bidang e-sukan.

Bagi sesi yang terakhir, panel jemputan merupakan seorang yang tidak asing dan sangat bepengaruh di dalam dunia e-sukan iaitu Daddyhood. Antara nasihat yang diberikan oleh Daddyhood ialah beliau berpendapat untuk menjadi seseorang yang berjaya di dalam apa jua bidang, individu itu perlulah memastikan apa yang ingin dikongsi atau disampaikan kepada umum mestilah bersifat positif yang mampu memberikan kebaikan kepada semua pihak. Bagi Daddyhood kejayaan yang beliau capai pada hari ini adalah hasil daripada sokongan keluarga, Menurut beliau, keluarga adalah perkara yang sangat penting bagi menyokong seseorang itu untuk mencapai minat dan usaha mereka sehingga berjaya. Beliau berpendapat, restu dan doa daripada ibu bapa dan keluarga sangat penting untuk kejayaan sesorang itu.

Selain daripada siri webinar, pertandingan “casting” dan pertandingan amal PUBG Mobile juga telah dianjurkan. Bagi pertandingan “casting”, seramai empat pemenang telah dipilih dan kesemua daripada mereka telah diberkan peluang untuk menjadi pengulas semasa pertandingan amal PUBG Mobile. Bagi pertandingan amal. kutipan amal ini bertujuan mengajak pemain dan pasukan yang bertanding untuk bersama-sama menghulurkan bantuan untuk disalurkan kepada dua buah rumah kebajikan yang telah dipilih oleh pihak penganjur.

Hasil daripada maklumbalas yang diterima daripada peserta menunjukkan bahawa majoriti peserta berpuas hati dengan aktiviti yang telah dijalankan. Malah, rata-rata peserta meminta untuk pihak menganjur mengadakan program ini sebagai program tahunan pada masa akan datang.

Terlebih dahulu, pihak penganjur juga telah menganjurkan webinar Salam Gamers: e-sukan atau e-lagha pada 25 Jun 2021 yang telah disampaikan oleh Pensyarah daripada Fakulti Akademi Pengajian Islam dan Kotemporari (ACIS) UiTM Shah Alam iaitu Ustaz Mohd Yusra Bin Abdullah. Webinar ini mengupas berkaitan topik e-sukan di dalam perspektif Islam. Webinar ini telah menjawab persoalan berkenaan dengan e-sukan dan islam. Menurut panel jemputan, Ustaz Yusra, hukum berhibur (bermain permainan video) adalah harus. Namun, kita mestilah pandai untuk membahagikan masa antara ibadah dan urusan keduniaan agar kita tidak lalai.

Sebagai rekod, Kursus Komunikasi Antarapersonal ditubuhkan sejak tahun 2009 bertujuan untuk melahirkan golongan serba boleh terutama sekali di dalam bidang komunikasi.