Satu sesi perkongsian bertajuk “Application of Manning Formula in Real Case Study” di antara pihak industri dan pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang telah diadakan dengan jayanya pada 31 Mei 2021. Peserta terdiri daripada pelajar semester 4 yang mendaftar kursus hidraulik pada semester semasa iaitu Mac – Ogos 2021. Sesi perkongsian ilmu ini telah disampaikan oleh Ir Wan Hidayatul Hak binti Wan Jusoh yang merupakan Jurutera Awam Penguasa di Cawangan Jalan- Bahagian Pengurusan Projek Timur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Malaysia dan mempunyai pengalaman 18 tahun dalam rekabentuk struktur dan infrastruktur. Sesi perkongsian melalui platform Webex yang dikendalikan oleh Ts. Dr. Duratul Ain binti Tholibon selaku perantara program telah dilaksanakan dengan jayanya dan disertai oleh keseluruhan pelajar yang mendaftar kursus tersebut disamping kehadiran para pensyarah yang mengajar.
Program ini dianjurkan dengan tujuan untuk mendedahkan para pelajar dengan aplikasi penggunaan Formula Manning yang telah mereka pelajari di dalam subjek hidraulik dengan aplikasi sebenar yang digunakan di lapangan. Secara umumnya,Formula Manning adalah formula empirik yang digunakan bagi menganggarkan halaju purata aliran yang mengalir dalam saluran terbuka.
Sesi perkongsian ini amat penting untuk sebagai permulaan kepada bercambahnya idea-idea baru kepada pelajar seterusnya membentuk pelajar yang berkebolehan dan dapat meningkatkan prestasi pembelajaran dan pengajaran seiring dengan peredaran masa. Melalui sesi perkongsian tersebut, diharap dapat membantu pelajar untuk lebih memahami hubungan pembelajaran secara teori didalam kelas dengan aplikasi dunia pekerjaan sebenar dan ini boleh dijadikan pembelajaran sepanjang hayat khusus nya bagi subjek hidraulik seterusnya dapat membantu dalam menetapkan prinsip reka bentuk kejuruteraan bekalan air yang terbaik selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 6 bertemakan AIR BERSIH DAN SANITASI (CLEAN WATER AND SANITATION).