UiTM Samarahan, Sarawak – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dengan sukacitanya telah menerima kunjungan dari YBhg. Prof Dr Firdaus Abdullah, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM), dalam sebuah sesi perkongsian ilmu yang berlangsung pada 27 November lepas.
Prof Dr Firdaus, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa di UiTM Sarawak suatu ketika dahulu, kembali ke kampus ini dengan misi untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang pengurusan dan perniagaan. Kunjungan ini dianggap sebagai suatu simbolik, ibarat peribahasa Melayu, “bagai sirih pulang ke gagang,” yang menggambarkan kepulangan seseorang ke tempat asalnya.
Sesi perkongsian ini telah menarik perhatian lebih dari 40 orang pensyarah dari pelbagai bidang. Dalam sesinya, Prof Dr Firdaus Abdullah telah menggariskan beberapa aspek penting dalam pengurusan dan beberapa strategi yang inovatif, serta memberi penekanan pada kepentingan adaptasi dalam era digital yang semakin berkembang. Beliau juga berbagi maklumat yang mendalam berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang akademik dan industri, dan ini memberikan perspektif yang berharga kepada para hadirin.
Kehadiran Prof Dr Firdaus di UiTM Sarawak sedikit sebanyak memberi inspirasi dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di UiTM, serta menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing.
Sesi ini diakhiri dengan sesi soal jawab di mana para pensyarah berpeluang untuk mengemukakan pandangan dan pertanyaan mereka kepada Prof Dr Firdaus Abdullah. Kunjungan ini menandakan satu lagi langkah ke depan dalam usaha UiTM untuk mengukuhkan jaringan ilmu dan kerjasama di antara kampus cawangan dan kampus induk, serta memperkukuhkan komitmen UiTM dalam membina generasi pemimpin masa depan yang berpengetahuan, inovatif dan adaptif.