Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Sarawak telah mengadakan Mesyuarat Staf Akademik Bilangan 1/2024 yang berlangsung pada jam 2.15 petang di Dewan Jubli, Kampus Samarahan. Mesyuarat penting ini tidak hanya melibatkan staf yang berada di lokasi, tetapi juga menyediakan medium atas talian untuk membolehkan warga kampus UiTM Mukah menyertai secara virtual, memperkukuhkan integrasi antara kedua-dua kampus.
Satu idea progresif telah dikemukakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP), Prof. Madya Dr. Saimi bin Bujang. Beliau membawa konsep “pensyarah sebagai generasi pendaulat”, menekankan bukan sahaja pada inovasi dalam pendidikan, tetapi juga pada kepentingan empati dan kesedaran terhadap keperluan pelajar, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
Konsep ini menggalakkan pensyarah memainkan peranan lebih aktif dan inovatif dalam pembangunan akademik dan intelektual pelajar. Didalam sesi pembentangan, beliau memberi penekanan berkenaan kepentingan keterlibatan pensyarah dalam pembangunan holistik pelajar. Ini termasuk pembangunan kemahiran kepimpinan, pemikiran analitikal, dan sebagainya. Pensyarah generasi ini mengintegrasikan teknologi terkini dalam pengajaran, memanfaatkan platform digital untuk meluaskan impak pendidikan mereka.
Selain itu, pensyarah sebagai generasi pendaulat juga memainkan peranan penting dalam penyelidikan dan inovasi. Mereka mendorong penciptaan pengetahuan baru yang tidak hanya relevan secara lokal, tetapi juga berimpak secara global. Ini menunjukkan komitmen mereka terhadap kemajuan dan pembangunan negara.
Dalam konsep yang dijelaskan, pensyarah digalakkan untuk tidak hanya menjadi pendidik tetapi juga mentor yang peka dan bersifat empati. Ini bertujuan untuk membina sebuah komuniti akademik yang lebih inklusif dan menyokong, di mana pelajar yang kurang berkemampuan merasa lebih selesa untuk memohon bantuan. Prof. Madya Dr. Saimi menegaskan bahawa realiti kehidupan pelajar yang berbeza-beza harus diakui dan dihargai, dan pensyarah memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan menyokong keperluan pelajar tersebut. Dalam realiti pendidikan masa kini, masih terdapat pelajar yang menghadapi cabaran kewangan dan sosial, namun merasa segan untuk memohon bantuan.
Oleh itu para pensyarah adalah digalakkan untuk mengambil inisiatif bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan, dan memberikan sokongan yang diperlukan, sama ada dalam bentuk bimbingan akademik tambahan, nasihat, atau bantuan dalam mencari sumber bantuan kewangan. Pendekatan ini bukan saja membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus berprestasi di peringkat akademik, tetapi juga memberikan mereka rasa dihargai dan difahami. Ini seterusnya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk berjaya.
Melalui pendekatan empati dan kepekaan ini, pensyarah sebagai generasi pendaulat bukan sahaja mendidik tetapi juga membina komuniti pelajar yang saling menyokong dan berkembang bersama. Ini mencerminkan komitmen mendalam mereka bukan hanya terhadap pendidikan, tetapi juga terhadap pembentukan masyarakat yang lebih adil dan berdaya tahan.
Sebagai kesimpulan, pensyarah sebagai generasi pendaulat, memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju negara. Mereka bukan sahaja membekalkan ilmu, tetapi juga membina wadah untuk pemikiran inovatif dan kepimpinan masa depan. Konsep ”generasi pendaulat” yang sensitif terhadap keperluan pelajar ini merupakan inisiatif terbaru oleh UiTM Sarawak dalam usaha mereka untuk terus relevan dan berimpak dalam pendidikan tinggi. Ini menunjukkan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga empati dan responsif terhadap keperluan sosial.