Pembangunan kursus-kursus Massive Open Online Course (MOOC) dan Micro Credential (MC) pada tahun 2022 semakin mendapat perhatian di kalangan pensyarah seluruh kampus UiTM. Tambahan pula aktiviti tersebut menyumbang kepada prestasi melalui Laporan Penilaian Prestasi Tahunan. Sungguhpun pada awalnya pembangunan MOOC dan juga MC adalah atas dasar sukarela tanpa diwajibkan oleh mana-mana pihak, namun lama kelamaan para pelajar dan pembangun semakin terasa faedahnya. Selain daripada mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kontemporari buat pelbagai lapisan jenis pelajar, pembangunan MC khususnya, mewujudkan satu platform bagi pembangun untuk berkreativiti dalam menghasilkan kandungan berasaskan pendidikan.
Pada 23 Disember 2022, pihak Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Massive Open Online Course (MOOC) Dan Micro Credential (MC) bagi meraikan semua pembangun kursus dari tahun 2021 hingga 2022 yang telah berjaya menyiapkan kandungan masing-masing. Majlis yang bertempat di Hotel De Palma Shah Alam itu telah dihadiri oleh Naib Canselor UiTM, Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor. Para pembangunan diraikan dengan jamuan makan dan juga penyampaian sijil perhargaan yang ditandatangani oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor sendiri. Kursus-kursus yang merekodkan pendaftaran peserta tertinggi dipilih sebagai Kursus Paling Aktif mengikut kategori bidang.
Usaha iCEPS dalam menganjurkan majlis yang meraikan usaha dan penat lelah para pembangun ini amatlah dihargai. Penyampaian anugerah membuatkan para pembangun semakin bersemangat untuk menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti.