KLANG, 25 Jun 2023 – Pada 24 Jun 2023 yang lalu, seramai 109 orang pelajar Tingkatan 4, SMK Telok Gadong telah menghadiri seminar yang dijalankan di Dewan Abdul Rashid, SMK Telok Gadong, Klang. Program ini dijayakan oleh 43 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Kewangan, Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS), Shah Alam. Penganjuran program ini adalah bagi memenuhi tugasan projek matapelajaran Personal Financial Planning (FIN533) yang merupakan kursus SULAM fakulti.
Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk merealisasikan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah dilancarkan pada tahun 2019, yang mensasarkan penggabungan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti. Disamping itu, diharapkan program sebegini dapat memberi pengalaman pembelajaran yang menghubungkaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian permasalahan sebenar dalam komuniti kepada para pelajar. Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti tentang ilmu berkaitan kewangan dan kesedaran tentang kepentingan menguruskan kewangan.
Program dimulakan dengan ceramah daripada Encik Azraei Muhamad Bin Idros, Perunding Perancangan Kewangan Financial Gory dengan tajuk “Pengurusan Kewangan Diri ; Tak Sambung Belajar Boleh Jadi Kaya?”. Seterusnya, para peserta melaksanakan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang berbentuk praktikal. Para peserta diberikan senario berkaitan pengurusan kewangan peribadi di dalam “Money mindset challenge”, dimana mereka perlu bekerjasama dalam menyelesaikan permasalahan yang diberi. Manakala permainan “Spin the wheel” pula menguji ketangkasan dan keberanian peserta untuk menjawab soalan secara individu.
Melalui program sebegini, adalah diharapkan dapat memberi bermanfaat yang berterusan, samada kepada pelajar, mahupun komuniti. Dengan berlangsungnya program seperti ini, lebih ramai mahasiswa yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan dapat dilahirkan oleh pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM). Penglibatan mahasiswa turut memberi impak positif bukan sahaja pada diri pelajar malah kepada UiTM khususnya.