SUNGAI BESAR, 3 Ogos 2023 – Pada 22 Julai 2023, Jabatan Sains Asas (JSA) Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM Kampus Puncak Alam telah mengadakan satu program khidmat komuniti di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Daerah Sabak Bernam, Sungai Besar. Program separuh hari secara bersemuka ini diadakan dengan jalinan kerjasama di antara Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM (FSK). Ini merupakan program sulung bagi siri khidmat komuniti JSA FSK bersama jabatan ANIS untuk tahun 2023.
Program ini mensasarkan seramai 50 puluh orang penglibatan komuniti ibu bapa dan keluarga anak berkeperluan khas di sekitar daerah Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan & Sabak Bernam. Namun begitu, program ini juga turut mendapat sambutan dan disertai oleh para ibu bapa dan guru guru Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dari daerah Klang dan juga Shah Alam.
Ahli psikologi klinikal dari Pusat Psikologi Jiwadamai, Encik Mohamed Nasrun Mohamed Zikrillah telah berkongsi pengalaman dan kepakaran beliau dalam mengenalpasti tahap perkembangan anak berkeperluan khas. Manakala Encik Chandra Kannan A/L Thanapalan, pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Terapi Carakerja FSK, UiTM telah bersama dengan peserta dalam memberi pendedahan tentang cabaran tingkahlaku dan intervensi awal bagi anak- anak berkeperluan khas.
Pada asasnya, sinergi di antara Jabatan ANIS dan Fakulti Sains Kesihatan ini bermatlamat untuk membantu komuniti ibu bapa dan keluarga anak berkeperluan khas mendapat pendedahan ilmu dan meningkatkan pengetahuan mereka tentang kepentingan intervensi awal dalam tahap perkembangan kanak-kanak secara positif. Secara tidak langsung ia juga dilihat dapat meningkatkan potensi dan kualiti hidup anak, ibu bapa dan keluarga secara keseluruhan. Pada akhir program, kebanyakan para peserta memberi maklumbalas positif terhadap seminar yang dijalankan. Besar harapan mereka agar program sebegini dapat diteruskan secara konsisten dan berkala di masa hadapan.
Melalui jalinan kerjasama ini menunjukkan komitmen UiTM dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan rakan industri setempat khususnya komuniti di sekitar Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan & Sabak Bernam. Ia juga agar dapat mencapai matlamat universiti dalam berbakti dan menyumbang khidmat yang bermakna kepada komuniti dan masyarakat. UiTM dilihat turut memperoleh pelbagai manfaat dari kerjasama ini dan menghasilkan pelbagai projek berimpak tinggi serta memberi manfaat besar kepada komuniti dan masyarakat termasuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU). Ia adalah selaras dengan penerapan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang mengiktiraf hak-hak golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berasaskan Teras SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan juga SDG 4: Pendidikan Berkualiti.