TAWAU, 10 MAC 2023: Pelajar Pra Diploma Perdagangan yang mengikuti Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT), Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah memperoleh keputusan peperiksaan akhir yang cemerlang dalam Semester Oktober 2022- Februari 2023. Pelajar Pra Diploma Perdagangan dikehendaki untuk mengambil enam kursus asas yang wajib iaitu Introduction to Accounting, Introduction to Business, English for Pre-Diploma, Intensive Mathematics, Introduction to Human Development/ Introduction to Social Ethics dan Study Skills.
Kira-kira 200 orang pelajar program PPT yang menduduki peperiksaan akhir telah mendapat keputusan Lulus dan Boleh Naik Taraf. Keputusan dalam bentuk peratus menurut subjek kursus adalah Introduction to Accounting (100%), Introduction to Business (100%), English for Pre-Diploma (100%), Intensive Mathematics (98%), Introduction to Human Development/ Introduction to Social Ethics (100%). Keputusan peperiksaan pelajar Pra Diploma yang membanggakan ini boleh dijadikan suatu petanda (marker) kepada kejayaan program PPT UiTM yang bertujuan membantu pelajar bumiputera dalam meneruskan pengajian mereka ke peringkat universiti.
Dalam pada itu, seramai sembilan orang pelajar Pra Diploma Perdagangan telah memperoleh keputusan cemerlang atau mencapai CGPA 4.00. Mereka yang berjaya mendapat semua A dalam kelima-lima kursus yang didaftarkan adalah Elisa David Quah, Elycia Sharon Johil, Kenneth Griftth J. Abun, Madelyn F. Kugan, Angie Ann Hepeni, Mivlovin Mirlo Mumin, Elly Nathalia Moston, Hani Dynazalila Aqilah Suherdy dan Shaygiven Harmony Fabian. Lebih membanggakan, terdapat empat orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang ini merupakan pelajar B40 yang diberi bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian di peringkat Pra Diploma selepas menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bila ditanyakan faktor-faktor kejayaan peperiksaan, Mivlovin Mirlo Mumin yang berasal dari Keningau, Sabah berkongsi bahawa dia akan meminta tolong daripada pensyarah atau rakan-rakan jika ada soalan yang tidak difahami.
“Di samping itu, saya selalu hadir ke kelas dan tidak suka menangguhkan kerja yang diberi,” tambah Mivlovin.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Madelyn F. Kugan yang berasal dari Kudat berkata, “Saya tidak pernah tidur lewat atau bangun seawal 3.00 pagi untuk belajar sebelum peperiksaan. Bagi saya, kefahaman adalah lebih penting daripada hafalan”, ujarnya.
Mengenai rahsia kejayaan, Elisa David Quah berkata, “Kita juga perlu menikmati apa yang kita lakukan semasa belajar. Jika rasa tertekan, jangan paksa diri untuk belajar sebab cara itu tidak berkesan”, katanya.
Bahagian Akademik, UiTMCSH Kampus Tawau ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar yang telah berjaya menyempurnakan pengajian peringkat Pra Diploma. Semoga keputusan cemerlang yang diperoleh dijadikan perangsang untuk terus beusaha dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang di peringkat pengajian yang lebih tinggi.