Semarak Siswa Madani: UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah mengeratkan ukhwah bersama masyarakat Kg Gachong Kuala Pilah

Rentetan daripada pelancaran inisiatif terbaharu yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin iaitu Program Semarak Siswa Madani di mana pihak KPT akan membawa inovasi dan idea-idea baharu yang tercetus di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kepada masyarakat dengan memfokuskan jalinan akrab antara mahasiswa dan komuniti, Unit Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah, Seremban serta Rembau telah berganding bahu bagi menyokong inisiatif tersebut. Program Semarak Siswa Madani ini telah diadakan pada 16 Julai 2023 bertempat di Kg Gachong, Daerah Kuala Pilah serta SSN SMK Panchor, Daerah Seremban.

Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan , kerjasama di antara staf dan para mahasiswa mahasiswi UiTM bersama penduduk sekitar, antaranya ialah program selangkah ke universiti, lukisan mural , membersihkan Kawasan surau dan kubur, kempen pemakanan sihat, pertandingan memasak, kursus penanaman cendawan tiram, klinik bola sepak, perlawanan persahabatan bola sepak dan sepak takraw, pertandingan e-sport, serta saringan kesihatan dan minda sihat.

Unit Pra Diploma UiTM Cawangan Negeri Sembilan kampus Kuala Pilah terlibat dengan aktiviti Selangkah ke UITM dengan mempromosikan program pra diploma UiTM kepada para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berjaya menerima mana -mana tawaran UPU. Dengan peluang yang disediakan bagi melanjutkan pengajian di peringkat Pra Diploma ini , ibu bapa dapat menarik nafas lega kerana anak -anak yang tidak mendapat tawaran UPU masih berpeluang melanjutkan pengajian di UITM.

Majlis perasmian penutup program Semarak Siswa Madani telah diadakan dengan kehadiran dif-dif terhormat iaitu Dato’ Haji Adnan Abu Hassan, Ahli Parlimen Kuala Pilah merangkap Pengerusi Risda Estates SDN. BHD., En. Yahya bin Pilus, Ketua UMNO Cawangan Kg. Gachong serta Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof. Dr. Yamin Yasin.