SELAMAT DATANG 468 PELAJAR BAHARU PROGRAM PRA DIPLOMA SESI OKTOBER 2023 KE UiTM CAWANGAN PULAU PINANG

PERMATANG PAUH, 2 Oktober 2023 – Satu perjumpaan pelajar baharu program Pra Diploma UiTM Cawangan Pulau Pinang Bersama koordinator program dan barisan penasihat akademik telah diadakan di Pusat Islam UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh. Pada edisi kemasukan Oktober 2023, seramai 468 pelajar baharu telah berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke tiga program yang ditawarkan iaitu Pra Diploma Sains, Pra Diploma Sains STEM C & Sastera dan Pra Diploma Perdagangan di UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Sesi perjumpaan ini bertujuan untuk mengalu-alukan kedatangan semua pelajar baharu, memberi taklimat berkaitan program akademik yang ditawarkan disamping memberi peluang untuk para pelajar mengenali Penasihat Akademik (PA) masing-masing. Sesi dimulakan dengan penyampaian taklimat berkaitan pelan pengajian program pra diploma, penerangan tentang proses pembelajaran dan pendaftaran kursus serta keistimewaan program yang telah disampaikan oleh Koordinator Program Pra Diploma UiTM Cawangan pulau Pinang iaitu Puan Suhaiza Hasan.

Seterusnya para pelajar diperkenalkan dengan PA masing-masing. Seramai 14 pensyarah gabungan daripada Jabatan Sains Gunaan (JSG) dan Jabatan Sains Komputer & Matematik telah dilantik sebagai PA kepada pelajar pra diploma semester Oktober 2023.

“Penasihat Akademik (PA) bertanggungjawab membimbing dan memantau perjalanan akademik pelajar di bawah seliaan masing-masing untuk membantu mereka menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan, memperoleh tahap pencapaian akademik yang bersesuaian dengan keupayaan dan potensi mereka” – Manual Penasihat Akademik UiTM.

Semoga perjumpaan ini menjadi titik permulaan yang terbaik buat semua pelajar baharu Pra Diploma untuk terus kekal bersemangat menyambung pengajian, mencari ilmu dan membentuk sahsiah terpuji bagi masa hadapan yang lebih baik. Program Pra Diploma adalah satu progam khas yang cukup istimewa atas inisiatif UiTM untuk memberi peluang dan ruang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang mendapat tempat ke universti awam disebabkan faktor kewangan atau keputusan SPM yang kurang cemerlang. Menariknya, setelah tamat mengikuti program pra diploma para pelajar akan diterapkan ke pengajian peringkat diploma di beberapa pusat pengajian dan fakulti di UiTM mengikut pilihan masing-masing. Dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Selamat maju jaya buat semua pelajar.