PUNCAK ALAM, 25 Mei 2023 – Pada 14 Mei 2023 yang lalu, Science Education Society (SEEDS), Fakulti Pendidikan telah berjaya menganjurkan program bual bicara ‘Santai Belia, Peranan Belia Menjayakan Ekonomi Digital Negara’. Hari Belia Negara saban tahun disambut pada 15 Mei bagi menghargai golongan belia yang merupakan tonggak utama yang berupaya memberikan impak positif kepada masyarakat. Rentetan itu, program bual bicara ini menerima sambutan baik daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk ke Fakulti Pendidikan bagi mendekati para belia UiTM. Antara tujuan utama program adalah bagi mendedahkan kepada mahasiswa/i mengenai kepentingan belia dalam pembangunan masyarakat. Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan pemahaman dan kerjasama dalam kalangan belia bersama pertubuhan belia di Malaysia. Program Santai Belia ini yang diadakan selama dua jam diisi padat dengan intipati yang membuka minda dan pemikiran para pelajar Fakulti Pendidikan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia, Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid sebagai panel jemputan.
Program bual bicara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran para pelajar daripada Kolej Pengajian Alam Bina, Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan dan juga Fakulti Pengurusan & Perniagaan. Encik Izzat, Presiden MBM turut berkata, para belia pada hari ini perlu banyak membaca dan mengambil tahu tentang dunia luar agar tidak ketinggalan dalam dunia yang semakin laju bergerak. Hal ini menjadi signifikan apabila para belia dilihat berminat untuk mengambil tahu tentang sejauh mana kecanggihan dunia digital pada masa kini demi kehidupan mereka akan datang. Bukan itu sahaja, Encik Izzat menasihati agar para belia terutama para pelajar Fakulti Pendidikan menggunakan masa muda dengan mempelajari dan mengasah bakat dari segi kemahiran insaniah dan pengalaman dalam industri sebelum mendidik anak bangsa. Pelajar juga tidak melepaskan peluang bertanyakan beberapa soalan kepada panel jemputan tentang tips untuk membahagi masa sebagai seorang pelajar yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan sebagainya.
Meskipun Malaysia baru sahaja memasuki Revolusi Industri 4.0 berbanding negara Eropah yang sudah memasuki Revolusi Industri 5.0, namun perkara itu tidak boleh mematahkan semangat rakyat Malaysia terutama para belia untuk turut berganding bahu. Apabila berfikir sejenak, semakin canggih teknologi kini seperti teknologi artificial intelligence (AI), semakin tinggi cabaran yang perlu dihadapi oleh belia kini bagi mempromosi diri mereka untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan. Memetik kata Mahatma Gandhi, masa depan negara bergantung pada apa yang kita lakukan hari ini. Dengan itu, anak muda kini diseru agar tidak memandang enteng akan kepentingan menimba ilmu di luar bilik darjah agar dapat melihat realiti kehidupan dalam menjadi Malaysia Madani.