TAWAU, 15 MAC 2022 – Jawatankuasa Safety Committee Under Department (SCUD) UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah menganjurkan Kursus Pertolongan Cemas Asas (PCA) secara atas talian yang telah dihadiri oleh sebanyak 42 peserta yang terdiri daripada warga UiTMCSH Kampus Tawau dan Kampus Kota Kinabalu.
Pihak Urus setia telah menjemput Encik Ivan Len Yink Hau dari Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Tawau sebagai penceramah. Beliau mempunyai pengalaman luas bersama BSMM Daerah Tawau sejak 1996 dan telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat bermula 2011 sehingga sekarang. Kursus PCA ini dikendalikan oleh Encik Jemat Julaihi @ Basri selaku moderator.
Kursus PCA ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan pertolongan cemas serta mendedahkan cara untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa pada peringkat awal. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mempersiapkan semua warga kampus agar sentiasa siap siaga menangani kes kecemasan semasa melakukan aktiviti-aktiviti dalaman mahupun luaran kampus.
Sepanjang kursus ini dijalankan, Encik Ivan Len Yunk Hau telah berkongsikan info serta tontonan video beberapa prosedur pertolongan cemas. Antaranya ialah latihan asas seperti mencuci dan membalut luka, membuat pelbagai jenis balutan termasuk anduh kepala, anduh lengan, anduh tapak tangan dan anduh lutut, kaedah pengangkutan mangsa kecemasan seperti kaedah mendukung, mengendung dan menopang selain menggunakan usungan. Turut dikongsikan ialah teknik pemulihan pernafasan dengan menggunakan alat Automated External Defibrillator (AED).
Kursus ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan pertolongan cemas, malah juga dapat memberikan pendedahan kepada peserta tentang tindakan yang harus dilakukan ketika menghadapi sesuatu kes kecemasan. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.