‘Ride 4 Health’ UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau

TAWAU, 11 MAC 2022 – Aktiviti ‘Ride 4 Health’ staf UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau telah diadakan pada jam 4 petang hari ini. Laluan berbasikal ‘Ride 4 Health’ bermula dari lobi Menara Gemilang. Kayuhan sejauh 12 KM melalui Jalan Bukit Kawa sehingga ke Simpang 3 Jalan Bukit Mill. Kemudiannya, berpatah balik mengikut laluan Simpang 3 Jalan Bukit Mill ke lobi Menara Gemilang semula. Rekod kayuhan ‘Ride 4 Health’ turut dicatatkan menggunakan mobile apps Relive.

Menurut salah seorang peserta, Encik Suardi Kade atau lebih mesra dipanggil Ardi, aktiviti berbasikal sangat baik untuk mengekalkan tahap kecergasan selepas seharian bekerja di pejabat. “Lagipun, kita boleh melakukan aktiviti berbasikal bersama keluarga, rakan ataupun secara sendirian. “Saya memilih mountain bike (MTB) sebagai basikal pilihan kerana gemarkan cabaran di laluan berbukit,” tambahnya.

Sementara itu Encik Rahmat Kaparang, berkata, inisiatif mengadakan aktiviti ‘Ride 4 Health’ ini adalah sangat baik. “Sebenarnya, aktiviti berbasikal adalah permainan saya sejak kecil lagi. Bezanya waktu dulu basikal BMX yang jadi pilihan. Sekarang, basikal MTB yang menarik minat saya,” jelasnya.

Seorang lagi peserta, Encik Sulaiman Halim yang mula aktif mengikuti aktiviti berbasikal off-road sejak dua tahun lalu berpendapat tidak perlu berhabisan sehingga berhutang untuk membeli basikal yang mahal.
“Apa yang penting, beli basikal yang sesuai dengan kemampuan kewangan diri sendiri,” ujarnya.

Aktiviti ‘Ride 4 Health’ sebegini bukan sahaja jadi hobi yang sihat malah ia juga dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik seperti obesiti dan penyakit jantung.

Secara keseluruhan, pihak pengurusan UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau sentiasa menggalakkan seluruh keluarga UiTM untuk mengaktifkan diri bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.