Sambutan Pasca Raya dan Majlis Ramah Mesra Pusat Pengajian Sains (PPS) 2023 UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, 26 Mei 2023 – Persatuan pelajar Pusat Pengajian Sains (PPS), Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Cawangan Pahang iaitu Organization of Biology Progeny (OBEY) dengan kerjasama Chemistry Student Association (CHEMSA), Physics Student Association (PHYSA), Organization of Biodiversity Club (ORBID) dan Persatuan Diploma Sains (PERDIPSA) telah berjaya menganjurkan program Sambutan Pasca Raya dan Majlis Ramah Mesra Pusat Pengajian Sains (PPS) 2023 bertempat di Rumah Tamu UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Sambutan Pasca Raya dan Majlis Ramah Mesra yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk merapatkan silaturrahim dikalangan para pelajar PPS terutamanya dari program yang berbeza serta merapatkan ukhuwah diantara pelajar dan pensyarah PPS. Pengarah dan penasihat program ini adalah En. Muhammad Harish bin Mohd Hapiz, pelajar Bahagian 5 dari program AS201 dan Dr. Liliwirianis binti Nawi, Penasihat 1 persatuan OBEY. AJK program ini terdiri daripada pelajar-pelajar dari lima program pengajian di bawah PPS iaitu AS201, AS203, AS222, AS255 dan AS120.

Majlis sambutan ini telah disertai oleh 217 orang pelajar dan 44 orang pensyarah PPS daripada Unit Biologi, Kimia dan Fizik. Pelbagai juadah seperti nasi minyak, ayam masak merah, lemang, rendang ayam, laksa penang, mi kari, kuih-muih, pelbagai manisan dan minuman telah dihidangkan pada hari tersebut. Reruai Mini Games telah dibuka dan para peserta boleh mencuba permainan seperti Memory Game dan Tossing Game. Peserta juga dapat menyertai permainan dimana peserta menyambung lirik lagu raya yang didendangkan dan semua pelajar dari setiap pengajian berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah. Selain itu, ruangan ‘Photo Booth’ juga telah disediakan untuk para peserta mengambil gambar sebagai kenangan.

Selain daripada itu, pertunjukan silat dari Kelab Pencak Silat dan persembahan tarian dari Kelab Estetika dan Budaya turut menjadi tarikan majlis ini. Kemuncak majlis ini adalah sesi bergambar beramai-ramai bersama kesemua pelajar dan pensyarah PPS yang hadir.

Ribuan terima kasih kepada pihak persatuan-persatuan pelajar PPS FSG UiTM Pahang kerana bertungkus lumus menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada para pensyarah PPS, FSG UiTM Pahang Kampus Jengka yang sudi menyertai majlis bersama pelajar ini. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang