Sambutan Hari Sedunia Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2024

Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja yang disambut setiap 28 April, menjadi lebih bermakna pada tahun ini dengan penyertaan sebanyak 50 orang pelajar Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Higiene Industri dan Keselamatan dari Universiti Teknologi MARA yang diiringi oleh Ts Dr Ismaniza, pensyarah kanan Fakulti Sains Gunaan.

Bertemakan impak perubahan iklim terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim di Universiti Cyberjaya.

Selain menekankan tentang risiko pendedahan kepada hazard seperti cuaca melampau, haba berlebihan, penyakit bawaan vektor, sinaran ultraungu dan pencemaran udara, beliau juga turut menyentuh tentang penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (pindaan) 2022 bermula Jun 2024. Sehubungan itu, majikan wajib membuat penilaian risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan. Ini pastinya memberi nilai tambah kepada pengamal industri dan graduan universiti untuk menjadi orang yang terlatih, demi memastikan persekitaran tempat kerja lebih selamat.

 

Menurut YB Steven, kesihatan mental di tempat kerja juga menjadi fokus utama kementerian. Selaras dengan itu, tidak lama lagi satu garis panduan pengurusan risiko kesihatan psikososial yang dibangunkan oleh pasukan perunding dari UiTM akan dilancarkan, demi menjamin kesejahteraan majikan dan pekerja di seluruh negara.

Dalam majlis tersebut, pelajar-pelajar Teknologi Higiene Industri dan Keselamatan UiTM turut menyertai 2,500 peserta yang terdiri daripada pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) mengungkapkan lafaz ikrar integriti, sekali gus mencipta rekod sebagai “Ikrar Integriti Terbesar oleh Pengamal OSH di Malaysia” dalam Malaysia Book of Records.