Hari Hutan Antarabangsa disambut di seluruh dunia pada 21 Mac setiap tahun. Pengisytiharaan ini telah dipersetujui oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada 21 Mac 1972 dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan untuk kesejahteraan masyarakat dan kestabilan alam sekitar. Hari Hutan Antarabangsa ini turut disambut bersama Hari Kayu Sedunia. Sinonim dengan konsep Kampus Khazanah Alam, UiTM Cawangan Pahang, melalui Pusat Pengajian Industri Perkayuan (PPIP) telah menganjurkan Sambutan Hari Kayu Sedunia 2023 pada 17 Jun 2023. Penganjuran program ini telah melibatkan alumni, agensi dan industri yang berkaitan dengan perkayuan, pelajar, staf UiTM, murid-murid sekolah serta komuniti.
Objektif utama penganjuran ini adalah bagi memahami kepentingan serta kegunaan kayu di dalam kehidupan harian, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan industri perkayuan dan peranannya kepada komuniti, menekankan kepentingan hutan di kampus dan kawasan sekitarnya serta menggalakkan gaya hidup yang sihat. Penganjuran program ini juga melibatkan perkongsian kepakaran alumni bersama pelajar mengenai industri perkayuan di Malaysia khususnya dan global amnya.
Program sambutan Hari Kayu Sedunia 2023 telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) iaitu YBhg. Prof. Dr. Mohamad Hariri Haji Abdullah. Pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang dihadiri oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang, YBhg. Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor Penyelidikan & Jaringan Industri UiTM Cawangan Pahang.
Antara jemputan agensi yang hadir adalah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang. Manakala antara industri yang terlibat adalah Agarwood Worldwide Network Sdn. Bhd, Boss Seven Group Berhad dan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM). Terdapat juga jualan kraf yang berasaskan kayu seperti Inakraf Wood Carving, Warisan Craft Wood, Seri Cempaka Kraf, DiyMata Kayu dan banyak lagi. Pameran – pameran yang turut serta adalah daripada MTIB, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Salah satu aktiviti tumpuan ramai adalah Pertandingan Bilah Tajam Jengka 2023 yang telah berjaya mengumpulkan peserta daripada seluruh Malaysia dengan 70 penyertaan. Pertandingan ini dibawah penganjuran Kelab Golok Malaysia. Terdapat juga demonstrasi arca menggunakan kayu Eucalyptus pellita oleh Adiguru Kraf, Abd. Muhaimin Hasbollah yang juga merupakan Felo Bersekutu PPIP dan demonstrasi penghasilan minyak gaharu oleh Agarwood Worldwide Network Sdn. Bhd. serta demonstrasi tisu kultur oleh RnZ Agarwood. Terdapat juga permainan seperti congkak, karom, Jenga dan lain-lain.
Penganjuran program sambutan ini dilihat sebagai salah satu medium bagi mengumpulkan agensi dan industri berasaskan perkayuan disamping penglibatan alumni, pelajar serta komuniti. Semoga program ini mampu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian kayu di Malaysia.