Okinawa, Jepun – Pada 12 – 22 November 2023, 9 peserta daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia telah menyertai Sakura Science Exchange Program yang telah diadakan di Okinawa, Jepun. Program ini bercirikan penyelidikan koloboratif dengan tajuk “International Joint Technical Exchange Program for the Promotion and Incubation of Sustainable Tropical Marine Aquaculture”. Program ini telah dibiayai sepenuhnya oleh Japan Science and Technology Agency (JST).
Para peserta ini terdiri daripada Sr. Ts. Dr. Siti Hafsah Zulkarnain (UiTM Cawangan Selangor); Dr. Nurzaki Ikhsan (UiTM Cawangan Selangor); Sharir Aizat Kamaruddin (UiTM Cawangan Perlis); Khairul Naim Abd.Aziz (UiTM Cawangan Perlis); Aimie Rifhan Hashim (UiTM Cawangan Perlis); Alahasin Rubama (UiTM Cawangan Sabah); YBrs. Profesor Dr. Hj. Abdol Samad Nawi (UiTM Cawangan Kelantan); YBrs. Profesor Madya Dr. Rozita@ Uji Mohammed (UiTM Cawangan Sabah) dan YBrs. Profesor Madya Dr. Henry Joseph (UiTM Cawangan Sabah). Program ini telah dihoskan oleh University of the Ryukyus.
Antara lokasi industri dan pusat penyelidikan yang dilawati adalah Nakagusuku Village Aquaculture Technology Research Center (NAICe), Euglena co, Seikai National Fisheries Research Institute, Okinawa Prefectural Fisheries Research and Extension Center, Tropical Biosphere Research Center, Marine Aquaculture Center Sesoko Station, Okinawa Prefectural Sea Farming Center, Onna Village Fisheries Cooperative Association, dan Okinawa Mozuku Board. Lawatan ke tempat-tempat ini banyak memberikan pelbagai ilmu pengetahuan berguna terutamanya dalam bidang kelestarian akuakultur marin dan pengurusan sumber marin dengan mapan.
Terdapat banyak perbincangan yang telah diadakan, antaranya adalah program pertukaran pensyarah, pertukaran pelajar latihan industri, penandatangan persefahaman, jemputan syarahan dan aktiviti penulisan artikel berimpak tinggi serta penghasilan produk inovasi bermutu tinggi dalam bidang marin dan akuakultur. Selain itu juga, pertukaran cenderahati juga turut diadakan sebagai tanda kenang-kenangan warga UiTM di bumi Jepun bersama wakil industri dan pusat penyelidikan yang dilawati.Di akhir program, para peserta telah dianugerakan dengan sijil penyertaan Sakura Science Exchange Program dan menjadi sebahagian keluarga Sakura Science Club.
Para peserta juga sempat mempromosi Malaysia dan Universiti Teknologi MARA kepada wakil industri dan pusat penyelidikan. Informasi berkenaan senarai program sepenuh masa dan separuh masa peringkat pascasiswazah dan siswazah juga turut disalurkan kepada perwakilan dari Jepun. Para peserta juga banyak mempelajari cara dan mutu kerja masyarakat Jepun selain mempelajari sejarah, adat dan budaya mereka.
UiTM sangat menyokong usaha-usaha murni warganya dalam meletakkan nama UiTM dan Malaysia di persada dunia. Penglibatan warga UiTM dalam Sakura Science Exchange Program adalah selaras dengan agenda Pembangunan Madani dan menyokong aspirasi UiTM’s Globally Renowned University (GRU2025). Walau masa berlalu, namun segala kenangan dan ilmu dipelajari menjadi sorotan sepanjang zaman.